Pemimpin PPBM gesa Ramasamy henti tekan Dr Mahathir dalam isu Zakir Naik

Ahli Majlis Tertinggi PPBM Mohd Rafiq Naizamohideen (kiri). (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PPBM menggesa pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH), khususnya P Ramasamy supaya menghormati keputusan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membabitkan isu ekstradisi penceramah kontroversi Dr Zakir Naik.

Ahli Majlis Tertinggi PPBM Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, tekanan berterusan terhadap perdana menteri akan memburukkan keadaan, meningkatkan suhu kemarahan serta mewujudkan ketegangan antara kaum.

“Semua pihak, terutama pemimpin komponen PH, seperti Ramasamy harus berhenti memberi tekanan dan menghormati pendirian serta ketetapan perdana menteri.

“Dr Mahathir sudah 2 kali menyatakan pendirian tegasnya bahawa Dr Zakir Naik tidak akan dihantar pulang ke India walaupun kerajaan berdepan dengan desakan banyak pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ramasamy mempersoalkan Mahathir yang tidak mengambil tindakan terhadap Naik selepas penceramah kontroversi itu membuat laporan polis ke-2 terhadapnya kerana memfitnah.

Ramasamy berkata, ketiadaan tindakan segera terhadap Naik di pihak perdana menteri memberi gambaran bahawa penceramah warga India itu menikmati kekebalan di negara ini.

Ramasamy yang juga timbalan ketua menteri II Pulau Pinang berkata, keputusan Mahathir tidak mengambil langkah segera ke atas Naik adalah mengecewakan memandangkan perdana menteri pernah menjanjikan sebuah Malaysia baru untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Baru-baru ini Naik diselubungi kontroversi, berhubung kenyataan beliau mengenai masyarakat Cina dan India Malaysia.

Naik dilaporkan berkata, dalam isu ekstradisinya ke India, masyarakat Hindu di Malaysia menikmati “100 kali lebih banyak hak” berbanding orang Islam di India, tetapi lebih menyokong perdana menteri negara itu berbanding perdana menteri Malaysia.

Beliau juga dilaporkan berkata, sekiranya kedudukannya sebagai “tetamu” di negara ini kerana tidak dilahirkan di sini dijadikan sebab beliau perlu dihantar pulang ke India, maka orang Cina sebelum ini yang tidak dilahirkan di sini juga adalah “tetamu lama” yang perlu dihantar pulang sebelum beliau.

Kenyataan tersebut mencetuskan kritikan keras daripada sesetengah pihak, termasuk Ramasamy, ahli Parlimen Klang Charles Santiago; ahli Dewan Undangan Negeri DAP Satees Muniandy; Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan bekas duta, Dennis Ignatius.

Naik kemudiannya membuat laporan polis terhadap 5 individu tersebut, yang mempertahankan kritikan mereka terhadap beliau.