Penganjur batal himpunan anti-Zakir Naik selepas dihubungi Anwar
Shankar Ganesh berkata, presiden PKR itu berjanji akan menemuinya minggu depan untuk membantu menyelesaikan isu berkenaan.
PETALING JAYA: Penganjur membatalkan satu himpunan anti-Dr Zakir Naik yang dijadualkan berlangsung petang ini atas permintaan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Shankar Ganesh dipetik Malay Mail Online berkata, Anwar menghubunginya dan berjanji akan menemuinya minggu depan untuk membantu menyelesaikan isu itu.
Dalam rakaman video selama 26 minit yang kebanyakan dalam bahasa Tamil, Shankar mendakwa Anwar merayu beliau tidak meneruskan himpunan “Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians & Others”.
Beliau menyifatkan panggilan telefon daripada Anwar sebagai “mata tambahan” dan meletakkan “101% kepercayaan terhadapnya.
“Disebabkan perkataan itu, saya meletakkan kepercayaan saya demi komuniti India dan membatalkan himpunan esok (petang ini),” katanya malam tadi sambil memainkan rakaman perbualan telefon dengan ahli Parlimen Port Dickson itu dalam rakaman video berkenaan.
“Beliau kata jangan risau, kami akan buat sesuatu. Jadi mari lakukannya. Mari letak kepercayaan kita pada Anwar.”
Keputusan itu dibuat beberapa jam selepas Anwar menggesa penganjur membatalkan himpunan berkenaan kerana keadaan sudah reda susulan tindakan kerajaan.
Anwar berkata, tiada keperluan untuk menunjuk perasaan kerana polis sudah melarang penceramah kontroversi dari India itu berceramah di seluruh negara.
Katanya, meneruskan bantahan itu hanya akan meningkatkan suhu politik negara dan mengundang pelbagai reaksi.
Naik mencetuskan kontroversi susulan satu siri ceramah di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini yang didakwa mempertikaikan kesetiaan penganut Hindu negara ini kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Beliau turut dilaporkan berkata, kaum Cina di Malaysia boleh dianggap “tetamu” di negara ini.
Susulan itu, Naik memohon maaf atas sebarang salah faham yang timbul, tetapi beliau tetap mempertahankan kenyataannya dipetik luar konteks.
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dalam kenyataan malam tadi berkata, siasatan kes Naik hampir selesai dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam tempoh terdekat untuk arahan lanjut.
Katanya, polis menerima 515 laporan berkaitan Naik dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman dengan Naik dan beberapa saksi dipanggil untuk memberi keterangan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Beliau juga akur dengan arahan polis untuk tidak lagi meneruskan siri jelajah ceramahnya di seluruh negara.”