Polis ambil keterangan Adun Semambu berkait himpunan anti-Lynas

Adun Semambu, Lee Chean Chung memberi keterangan kepada polis di pusat khidmatnya hari ini. (Gambar Facebook)

KUANTAN: Adun Semambu, Lee Chean Chung memberi keterangan kepada polis hari ini bagi membantu siasatan berkaitan perhimpunan anti-Lynas di Taman Gelora di sini, pada Ahad lepas.

Katanya, beliau memberi kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat kes itu yang mengambil keterangannya selama 45 minit di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Semambu, di sini.

“Antara soalan yang ditanya ialah penglibatan saya dalam perhimpunan itu, jika saya tahu perhimpunan itu diadakan tanpa permit dan adakah saya menyampaikan ucapan pada hari berkenaan,” katanya/

Lee berkata, Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Tan Bun Teet selaku penganjur perhimpunan dan Setiausaha Persatuan Solidariti Hijau Kuantan, Chu Seng Pong turut memberi keterangan mereka.

Ahad lalu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Mohamad Noor Yusof Ali mengesahkan perhimpunan membantah lesen operasi kilang nadir bumi Lynas tidak memenuhi peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ini kerana perhimpunan yang hanya menarik kehadiran 200 orang itu tidak memperoleh kebenaran daripada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) selaku pemilik lokasi perhimpunan diadakan.

Polis mengambil keterangan Adun Teruntum, Sim Chon Siang dan peguam SMSL, Hon Kai Ping bagi membantu siasatan kes itu Khamis lalu.