Putrajaya lulus lebih RM70 juta atasi kesesakan di Tambak Johor

Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan akan menambah lorong laluan di Tambak Johor dan mungkin menggunakan teknologi seperti imbasan wajah, jika mampu. (Gambar AFP)

KUANTAN: Menteri Luar, Saifuddin Abdullah berkata mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini meluluskan peruntukan awal lebih RM70 juta bagi menangani kesesakan di Tambak Johor, khasnya pada waktu puncak.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri dipilih mengetuai jawatankuasa itu kerana 2 agensi penting di pintu sempadan negara ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dan Jabatan Imigresen.

“Secara dasar, penyelesaian yang dirancang ialah menambah kakitangan imigresen dan kastam di pintu sempadan dan menambah baik sistem yang digunakan seperti penggunaan palang automatik kerana proses memeriksa satu persatu mengambil masa.

“Kita juga boleh menambah lorong laluan dan mungkin jika mampu, menggunakan teknologi seperti imbasan wajah, namun ini melibatkan kos tinggi,” katanya selepas merasmikan Program “Trash Challenge” di Pantai Batu Hitam di sini, hari ini.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada sidang media bersama Mahathir di Putrajaya pada 9 April lalu menyuarakan komitmen negaranya untuk menyelesaikan masalah itu kerana dianggarkan 250,000 hingga 300,000 orang menyeberangi Tambak Johor setiap hari.

Saifuddin berkata, penambahbaikan di Tambak Johor juga melibatkan pembinaan laluan pejalan kaki berkanopi yang dipanggil “gajah menyusur” kerana laluan tidak berbumbung menyukarkan pengguna ketika hujan.

“Ini adalah penyelesaian dari sebelah Malaysia dan kita berharap Singapura juga akan mencari penyelesaian di sebelah mereka supaya masalah kesesakan ini dapat diatasi.”

Sementara itu, Saifuddin yang juga ahli Parlimen Indera Mahkota memaklumkan Putrajaya meluluskan peruntukan RM2.5 juta untuk menaiktaraf Pantai Batu Hitam bagi menarik lebih ramai pelancong.

Katanya, peruntukan itu akan digunakan untuk menambah baik gerai makan, tandas, kawasan astaka dan kemudahan letak kenderaan, selain merancang pembinaan pelantar di pesisir pantai yang akan menjadi identiti pantai itu, jika dibandingkan pantai peranginan lain di Kuantan.

“Kita juga sepakat memilih Sekolah Menengah Kebangsaan Astana sebagai sekretariat penganjuran program kebersihan yang melibatkan kawasan sepanjang 4km pantai ini yang merupakan kawasan tarikan pelancong.”