Surat itu ditulis tahanan hukuman mati Malaysia, peguam beritahu penjara Singapura

N Surendran menggesa Singapura memberi jaminan terhadap keselamatan Pannir Selvam Pranthaman di dalam penjara dan menghentikan usaha menutup mulut serta kempen menyelamatkan anak guamnya.

PETALING JAYA: Peguam, N Surendran yang mewakili rakyat Malaysia berdepan hukuman mati di Singapura, Pannir Selvam Pranthaman, berkata anak guamnya menulis beberapa surat mengenai pengalamannya di penjara dan cerminan hidup, selepas Perkhidmatan Penjara republik itu menafikannya dan menyifatkan ia “kempen dirancang” untuk menekan mereka.

Penasihat Lawyers for Liberty itu menyifatkan dakwaan terbabit tidak benar dan tidak berasas sama sekali kerana keluarga Pannir mempunyai salinan surat tulisan tangan berkenaan untuk dijadikan bukti serta ia turut dimuat naik ke laman web rasmi www.savepannir.info.

“Sesiapa saja boleh melihat salinan itu di laman web yang ditulis Pannir. Ia sangat tidak bertanggungjawab untuk Singapura membuat tuduhan sedemikian tanpa memeriksa bahan di laman web atau menyiasat perkara itu dengan betul.

“Ini hanya menambahkan kesengsaraan dan penderitaan keluarga yang terdesak menyelamatkan Pannir melalui sokongan orang ramai bagi tujuan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perkhidmatan Penjara Singapura hari ini dilaporkan mendakwa Pannir memberitahu beliau tidak menulis surat itu dan menyifatkannya “kempen yang dirancang terhadap kerajaan Singapura”.

Surendran berkata, Pannir hanya akan berbuat demikian jika diugut atau dipaksa pihak berkuasa Singapura yang membuat dakwaan itu untuk menakutkan orang ramai dan menutup kempen menyelamatkan anak guamnya di Malaysia serta seluruh dunia.

“Tindakan Singapura menunjukkan ia mahu menggantung rakyat Malaysia ini secara senyap dalam masa terdekat dan tidak mahu menarik perhatian orang ramai terhadap kesnya.

“Kami amat bimbang dengan keselamatan dan kesejahteraan Pannir. Adakah beliau diugut, ditakut-takutkan, diserang atau dipaksa pihak berkuasa Singapura untuk menafikan beliau tulis surat itu? Adakah Pannir selamat dalam tahanan di Penjara Singapura?” soalnya sambil mempertikaikan jika negara itu akan memberi layanan adil untuk anak guamnya mencabar hukuman mati ke atasnya.

Beliau berkata, pihaknya terkejut dengan tindakan pihak berkuasa Singapura yang disifatkan kejam dan tidak boleh diterima kerana menggunakan kuasanya untuk menindas serta menutup mulut banduan.

Surendran menggesa kerajaan Singapura memberi jaminan terhadap keselamatan Pannir di dalam penjara dan menghentikan usaha menutup mulut anak guamnya serta kempen menyelamatkannya.

Beliau turut menggesa Putrajaya campur tangan dalam perkara itu yang membabitkan keselamatan rakyatnya di negara lain dan mendapatkan penjelasan serta jaminan daripada Singapura.

Pannir, 31, didapati mengedar lebih 51g heroin di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 3 September 2014 dan sepatutnya menjalani hukuman mati pada 24 Mei lalu.

Tetapi, Mahkamah Rayuan Singapura membenarkan permohonan Pannir untuk menangguhkan hukuman itu sehari sebelum itu atas alasan beliau perlu diberikan masa untuk memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar proses pengampunan.