Syarikat insurans akan bayar pampasan akibat gangguan sistem di KLIA, klia2

Penumpang memenuhi ruang kaunter pendaftaran masuk yang mengalami gangguan sistem sehingga menyebabkan kelewatan penerbangan di KLIA semalam. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pelanggan yang membeli insurans perjalanan atau produk takaful dari Etiqa Group Insurance and Takaful boleh menuntut pampasan bagi kelewatan penerbangan disebabkan gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kamaludin Ahmad berkata produk pelancongan Etiqa membuat bayaran tuntutan bagi kelewatan penerbangan akibat keadaan seperti mogok, cuaca buruk dan kerosakan mekanikal syarikat penerbangan.

“Penumpang yang dalam urusan perniagaan juga terjejas kerana mereka mungkin perlu menghadiri mesyuarat atau acara penting yang tidak dapat dijadualkan semula, jadi kelewatan penerbangan mungkin menyebabkan mereka terlepas acara itu secara keseluruhan.

“Oleh itu, bagi kumpulan khas penumpang yang terjejas akibat gangguan sistem di KLIA atau klia2 sejak kelmarin, kami memberi pengecualian dan akan membayar tuntutan akibat kelewatan penerbangan ini walaupun ia tidak dilindungi,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Bagi pelanggan Etiqa, mereka boleh menghantar mesej WhatsApp ke 019-650-7931 (dari 9 pagi hingga 5 petang Isnin hingga Jumaat) dengan memberikan nombor kad pengenalan, jadual penerbangan, pas masuk dan butiran akaun bank.

Untuk pertanyaan semasa di luar waktu perniagaan, pelanggan boleh menghantar e-mel ke [email protected]