Tak perlu perkenal akta baru berkait sijil halal, kata Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa.

PARIT BUNTAR: Tiada keperluan untuk menggubal akta baru berkaitan pensijilan halal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, ini kerana sudah ada akta sedia bagi mengawal penggunaan label logo halal ke atas pembekalan produk, sama ada makanan atau perubatan kepada pengguna di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Sesiapa yang didapati bersalah menggunakan tulisan jawi atau halal pada produk (tanpa pensijilan yang sah) boleh didakwa, jadi tidak perlu satu akta baru kerana isu halal sudah ada yang pelihara,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Rahmah di Masjid Ubudiah, Taman Seri Tenggara di sini hari ini.

Mujahid berkata, beliau difahamkan isu itu timbul berikutan kebimbangan pengguna tertipu dengan penyalahgunaan logo halal dan tulisan jawi pada produk.

“Yang dimaksudkan itu tertumpu kepada logo halal yang ditulis dalam tulisan jawi dan kata produk halal. Pengguna jangan tertipu, sebab logo halal itu ada pensijilannya.

“Tidak timbul isu kerana setiap pensijilan halal akan dilabel setelah syarikat berkenaan berdaftar dan audit dilakukan untuk memastikan ia sah,” katanya.

Mujahid berkata orang ramai boleh membuat semakan melalui talian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memeriksa status halal sesebuah produk kerana tiada pihak yang boleh meletakkan logo halal selain menerusi sistem berkenaan.

Semalam, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dilaporkan mencadangkan kepada Jakim supaya mengeluarkan sijil halal dalam tulisan mengikut bangsa pemilik produk.