Telur masin vs telur rebus: Mana lebih sihat?

Telur rebus adalah antara makanan yang biasa dimakan oleh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Antara jenis telur rebus yang biasa dimakan selain telur rebus biasa adalah telur masin yang biasa menggunakan jenis telur itik dalam pembuatannya.

Manakala untuk telur rebus biasa, telur ayam sering menjadi pilihan untuk direbus.

Bagaimanapun, tahukah anda bahawa telur rebus mengandungi kandungan nutrisi dan manfaatnya yang tersendiri dan jauh lebih menyihatkan berbanding telur goreng atau telur masin?

Kandungan nutrisi telur rebus

Sebiji telur rebus bersaiz besar (50 gram) menyediakan kandungan nutrisi seperti berikut:

  • Kalori: 77
  • Karbohidrat: 0.6 gram
  • Jumlah lemak: 5.3 gram
  • Lemak tepu: 1.6 gram
  • Lemak tidak tepu tunggal: 2.0 gram
  • Kolesterol: 212 mg
  • Protein: 6.3 gram
  • Vitamin A: 6% daripada RDA
  • Vitamin B2 (riboflavin): 15% daripada RDA
  • Vitamin B12 (cobalamin): 9% daripada RDA
  • Vitamin B5 (asid pantothenik): 7% daripada RDA
  • Fosforus: 86 mg atau 9% daripada RDA

Telur rebus adalah jenis makanan dengan kandungan kalori yang agak rendah.

Telur rebus hanya menyediakan sebanyak 77 kalori, 5 gram lemak dan sejumlah kecil karbohidrat.

Ia juga merupakan sumber protein yang sangat baik, kira-kira berjumlah sebanyak 6 gram untuk setiap telur.

Selain itu, telur juga kaya dengan pelbagai asid amino, yang bermaksud ia adalah sumber protein lengkap.

Telur rebus juga menawarkan pelbagai nutrien penting, termasuk vitamin D, zink, kalsium dan semua vitamin B. Ia adalah sumber riboflavin (vitamin B2) dan vitamin B12 yang sangat baik.

Kebanyakan nutrien telur didapati daripada kandungan kuning telur, sedangkan kandungan utama telur putih adalah protein.

Manfaat telur rebus

Sumber protein berkualiti tinggi yang baik

Protein adalah penting untuk kebanyakan komponen kesihatan anda, termasuklah pembinaan otot dan tulang selain menghasilkan hormon dan enzim.

Telur menyediakan kira-kira 6 gram protein berkualiti tinggi. Telur adalah salah satu sumber protein terbaik yang boleh dimakan.

Ini disebabkan profil protein lengkap mereka; telur mengandungi semua sembilan asid amino penting.

Salah satu salah faham umum ialah protein hanya boleh didapati pada putih telur.

Bagaimanapun, hampir separuh daripada kandungan protein telur berasal daripada kuning telur.

Tinggi kandungan kolesterol tetapi tidak meningkatkan risiko penyakit jantung

Telur sememangnya tinggi dengan kandungan kolesterol.

Sebiji telur rebus besar menyediakan sebanyak 212 mg kolesterol, iaitu 71% daripada RDA.

Bagaimanapun, penyelidikan terkini menunjukkan bahawa kolesterol diet mempunyai sedikit kesan ke atas kolesterol darah.

Bagi kebanyakan individu, kolesterol diet tidak dikaitkan dengan risiko penyakit jantung dan tidak meningkatkan kadar kolesterol keseluruhan atau tahap kolesterol LDL yang “buruk”.

Menggalakkan kesihatan otak

Telur memberikan nutrien penting dan antioksidan yang menyokong kesihatan otak.

Choline adalah nutrien penting bagi banyak proses kritikal dalam tubuh anda.

Badan anda menghasilkan beberapa kolin secara sendiri, tetapi tidak dalam kuantiti yang banyak.

Oleh itu, anda mesti mendapatkan choline dari diet anda untuk mengelakkan kekurangannya.

Menggalakkan kesihatan mata

Lutein dan zeaxanthin adalah dua antioksidan yang paling terkenal kerana peranan kedua-duanya dalam kesihatan mata.

Lutein dan zeaxanthin memerangi radikal bebas yang disebabkan oleh oksigen yang boleh menyebabkan terkumpul di bahagian mata anda.

Lutein dan zeaxanthin telah menunjukkan fungsinya dalam memperlahankan pembentukan katarak dan melindungi terhadap degenerasi makula yang berkaitan dengan usia (AMD).

Keduanya juga boleh melindungi mata anda daripada cahaya biru yang boleh menjejaskan mata.

Untuk pengetahuan anda, kuning telur adalah sumber yang sangat baik bagi kedua-dua karotenoid ini.

Selain itu, disebabkan oleh profil lemak kuning telur, badan berkebolehan menyerap lutein dan zeaxanthin dengan baik.

Telur rebus dan telur goreng. Mana lebih baik?

Sememangnya adalah telur rebus. Telur rebus dihasilkan dengan meletakkan telur ke dalam periuk yang dipenuhi dengan air biasa, kemudian dididihkan atau direbus sehingga kuning telur menjadi padat atau keras.

Telur rebus dimasak tanpa menggunakan sebarang mentega atau minyak tambahan.

Sebaliknya, telur goreng memerlukan mentega tambahan atau minyak, yang menyumbang tambahan kandungan kalori dan lemak.

Bagaimana pula dengan telur masin?

Telur masin sepertimana namanya, adalah telur yang telah diasinkan dan biasanya menggunakan telur itik.

Terdapat juga di sesetengah lokasi yang menggunakan selain daripada telur itik seperti telur ayam.

Secara umumnya, proses pemasinan telur dilakukan untuk mengekalkan kesegaran telur bagi kegunaan masa hadapan.

Telur itik masin sangat popular di China dan negara-negara Asia Selatan yang lain seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Kandungan nutrisi telur masin (73 gram)

  • Kalori: 130
  • Jumlah lemak: 9.6 gram
  • Kolesterol: 619 mg
  • Natrium: 1265 mg
  • Kalium: 156 mg
  • Jumlah karbohidrat: 1 gram
  • Protein: 9 gram
  • Vitamin A: 9% nilai harian
  • Vitamin C: 0% nilai harian
  • Kalsium: 5% nilai harian
  • Zat besi: 15% nilai harian

Telur masin tinggi kandungan natrium

Natrium atau garam adalah sejenis mineral yang merupakan elektrolit.

Natrium ini diperlukan oleh tubuh untuk menjaga keseimbangan elektrolit tubuh, menjaga kadar air di dalam dan di luar sel tubuh, selain menolong terhadap fungsi otot dan saraf.

Jarang sekali terdapat individu yang mengalami kekurangan kandungan natrium dalam tubuh, kecuali bagi individu yang mengalami cirit-birit, kekurangan zat, dan kegagalan jantung.

Sebaliknya, pengambilan terlalu banyak kandungan natrium hanya akan mendedahkan tubuh badan anda kepada pelbagai risiko masalah kesihatan lain seperti darah tinggi atau hipertensi.

Kesan pengambilan garam secara berlebihan

Peningkatan tekanan darah yang melampau boleh menyebabkan penyakit jantung, dan salah satu punca tekanan darah yang tinggi adalah disebabkan oleh pengambilan garam secara berlebihan.

Fungsi jantung adalah mengepam darah untuk dialirkan melalui pembuluh darah.

Daya tekanan yang dihasilkan ketika darah mengalir boleh diukur dan dinamakan sebagai tekanan darah.

Peringatan

Telur masin tidak disyorkan untuk wanita hamil kerana ia boleh menyebabkan edema, satu keadaan yang dicirikan oleh lebihan cecair berair yang mengumpul di rongga atau tisu badan.

Kandungan natrium telur itik masin lebih daripada 10 gram dan garam yang diperlukan oleh badan berkisar antara 5 hingga 8 gram sahaja.

Pengambilan telur masin oleh wanita hamil akan menyebabkan garam berlebihan dalam badan.

Ibu mengandung, dengan garam yang tinggi, akan berasa lebih haus dan akan mengambil lebih banyak air yang boleh mengakibatkan bebanan berlebihan terhadap buah pinggang dan dengan itu boleh membawa kepada edema atau pengekalan air.

Telur itik sememangnya kaya dengan kandungan protein, asid amino, lipid, asid lemak dan mineral penting.

Bagaimanapun, semasa proses pemasinan, telur yang diasinkan menjadi lebih masin dan tinggi kandungan garam.

Oleh itu, elakkan daripada mengambil telur masin dengan jumlah yang terlalu banyak disebabkan oleh kandungan garam yang tinggi.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]