Tiada petunjuk baru operasi cari 2 tentera hilang di Pulau Perak

Kehilangan Moses Logers (kiri) dan David Edmund Rapi ialah kes kedua di Pulau Perak selepas kejadian pertama pada 3 Oktober 2016 yang turut membabitkan 2 anggota tentera.

KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) 2 anggota tentera yang hilang di Pulau Perak, Kedah sejak bulan lalu masih diteruskan, tetapi belum ada sebarang petunjuk baru, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Zulkifli Zainal Abidin.

Beliau memohon rakyat Malaysia berdoa satu keputusan dapat dibuat dalam tempoh terdekat.

“Saya amat memahami keadaan keluarga yang menunggu perkembangan lanjut kes ini dan apa yang kita boleh buat adalah bersabar,” katanya dalam wawancara khas bersama media sempena Hari ATM ke-86 di Wisma Pertahanan semalam.

David Edmund Rapi dan Moses Logers dari Batalion ke-4 Rejimen Renjer Diraja yang berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis, dilaporkan hilang di pulau itu pada 19 Julai lalu selepas gagal dikesan ketika ketua penempatan membuat pemeriksaan bagi mengira kekuatan anggota.

Ia adalah kes ke-2 kehilangan anggota ATM di Pulau Perak. Kejadian pertama pada 3 Oktober 2016 membabitkan Johbartlee Kanil, 32, dari Sabah dan Mohd Faizol Rosli, 29, dari Kampung Sungai Limau di Pulai, Baling, yang dilapor terjatuh ke laut ketika mengambil air.

Faizol ditemui anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) dalam jarak 30m dari Pulau Perak, selepas 4 hari hilang, namun Johbartlee belum ditemui sehingga kini.