Tiada puak atau kem dalam PKR, kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim.

KUALA TERENGGANU: Tiada berlaku perpecahan ataupun wujud 2 kem dalam PKR, tegas presiden parti itu Anwar Ibrahim.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai ketidakhadiran timbalan presiden parti Mohamed Azmin Ali pada beberapa mesyuarat barisan kepimpinan PKR sebelum ini.

Katanya, Azmin telahpun mengemukakan sebab atas kebanyakan ketidakhadirannya itu dan parti tidak perlu ambil apa-apa tindakan terhadapnya.

“Ada peraturan kalau tidak hadir 3 kali berturut-turut tanpa sebab, (akan) gugur jawatan. Kadang-kadang orang ini dia cuba bagi sebab jadi lembaga disiplin parti akan meneliti sebab itu betul atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Dialog Bersama Komuniti dan Pertubuhan Bukan Kerajaan, di sini, hari ini.

Anwar, yang juga ahli Parlimen Port Dickson berkata, lebih penting kini adalah program parti berjalan seperti biasa dan pemimpin serta anggota terus setia dan memperjuangkan idealisme perjuangan PKR.