Ugut penjawat awam: Pengerusi PPBM Johor buat laporan polis

Pengerusi PPBM Johor dan juga Adun Puteri Wangsa Mazlan Bujang berkata, dakwaan beliau mengugut penjawat awam adalah fitnah dan berniat jahat untuk menimbulkan persepsi kurang baik masyarakat. (Gambar Twitter)

JOHOR BAHRU: Pengerusi PPBM Johor Mazlan Bujang hari ini membuat satu laporan polis berhubung dakwaan beliau mengugut seorang penjawat awam supaya kilang yang disita di Pasir Gudang ekoran kejadian pencemaran dibenarkan beroperasi semula seperti biasa.

Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa membuat laporan berkenaan di Balai Polis Bandar Dato Onn, di sini, kira-kira 5.30 petang.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan terbabit, Mazlan berkata, tujuan beliau membuat laporan adalah untuk menyatakan perkara sebenar dan membolehkan siasatan lanjut mengenai dakwaan itu dilakukan pihak berkuasa.

“Seperti tular di laman Facebook, ia memang betul suara saya (rakaman suara panggilan telefon kepada penjawat awam), tetapi tiada perkataan saya menyuruh membuka (beroperasi semula) kilang haram. Suara saya jelas adalah untuk membantu pengusaha kecil yang terjejas di kawasan Kampung Pasir Putih.

“Saya hanya menelefon sebagai tanggungjawab wakil rakyat. Saya bercakap untuk meminta pihak berkuasa membolehkan semula operasi peniaga berkenaan,” katanya.

Semalam Mazlan dilaporkan berkata, isu ugutan itu adalah fitnah dan berniat jahat untuk menimbulkan persepsi kurang baik masyarakat terhadap beliau, selain dimanipulasi daripada keadaan sebenar yang berlaku.