Uji DNA bekas timbalan ketua SPRM Selangor semula, gesa kumpulan Teoh Beng Hock

Jurucakap Teoh Beng Hock Trust for Democracy, Ng Yap Hwa (2 dari kanan) bersama wakil kumpulan itu selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini.

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan mencari keadilan bagi pembantu politik Teoh Beng Hock menggesa polis membuka semula siasatan ke atas bekas timbalan pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Hishamuddin Hashim.

Teoh Beng Hock Trust for Democracy turut menggesa polis mengambil semula sampel DNA Hishamuddin untuk diuji bersama DNA tidak diketahui yang ditemui pada badan dan mayat Teoh.

Jurucakap kumpulan itu, Ng Yap Hwa berkata polis perlu menyiasat dakwaan orang dalam SPRM melalui sepucuk surat yang dihantar kepada Menteri Besar Selangor ketika itu, Khalid Ibrahim, pada 2009.

Surat itu menimbulkan kecurigaan terhadap Hishamuddin yang memberi sampel DNA beliau dalam pejabatnya sedangkan pegawai lain memberi sampel mereka secara berkumpulan di bilik persidangan.

Katanya, bekas timbalan pengarah itu terkenal dengan teknik memegang tali pinggang dan mengangkat serta menggoncang mereka ketika soal siasat.

Ng berkata, ini bermakna DNA misteri pada badan dan baju Teoh mungkin milik Hishamuddin.

“Kita perlu tanya kenapa Hishamuddin mendapat layanan istimewa sedemikian,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini, hari ini.

“Disebabkan ini, kami fikir aspek ini wajar disiasat sekali lagi oleh polis dalam siasatan baru ini.”

Ng turut kecewa terhadap kekurangan perkembangan terkini dalam siasatan baru polis dengan berkata, tiada tanda mereka menganggap ia sebagai kes bunuh.

“Pasukan polis Selangor tidak pernah hubungi kami untuk memberi maklumat tambahan.”

Hishamuddin yang baru-baru ini berkhidmat sebagai pengarah bahagian risikan SPRM untuk tempoh tertentu, ialah pegawai yang mengetuai siasatan sehingga menyebabkan kematian Teoh.

Awal bulan ini, kumpulan terbabit menggesa polis menyiasat 10 pegawai SPRM kerana menyembunyikan kematian, bersubahat dan cubaan menutup kematian Teoh dengan memberi keterangan palsu, memusnahkan bukti serta membunuh.

Pada 16 Julai 2009, Teoh yang juga setiausaha politik kepada Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat 5 Plaza Masalam di Shah Alam, beberapa jam selepas beliau disoal siasat SPRM Selangor di pejabatnya di tingkat 14 bangunan sama.

Suruhanjaya Siasatan Diraja menyimpulkan Teoh didorong membunuh diri oleh cara soal siasat agresif pegawai SPRM. Ia turut menyalahkan 3 pegawai atas cara agresif mereka yang dikatakan melanggar prosedur.

Bulan lalu, polis dilaporkan akan mematuhi arahan Jabatan Peguam Negara untuk melakukan siasatan lanjut ke atas kematian Teoh.