Pangkalan data pesalah jenayah kanak-kanak akan dikemas kini, kata Wan Azizah

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan perlu bersikap adil terhadap semua pihak kerana Nur Fitri Azmeer Nordin sudah menjalani hukumannya.

ALOR SETAR: Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pangkalan data pesalah jenayah kanak-kanak akan dikemas kini secara komprehensif.

Katanya, ini penting kerana data sedia ada hanya dari 2017 dan terdapat sedikit kelemahan yang perlu diperbaiki.

Dalam kes pesalah pedofilia, Nur Fitri Azmeer Nordin, 27, yang melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia, beliau berkata, pemuda itu didapati bersalah pada 2015 ketika dia berada di luar negara.

Katanya, kerajaan perlu bersikap adil terhadap semua pihak kerana Nur Fitri sudah menjalani hukumannya.

“Kisah ini punya 2 aspek. Dia sudahpun menjalani hukumannya atau sebahagiannya…Apakah kita mahu menghukumnya seumur hidup?

“Pada masa sama, kita juga hendak pastikan anak-anak kita terjaga, jadi kita perlu seimbang,” katanya selepas merasmikan Program Santuni Rakyat peringkat Kedah di sini, semalam.

Pada Mei 2015, Nur Fitri yang melanjutkan pelajaran di Imperial College, United Kingdom dijatuhi hukuman penjara 5 tahun oleh Mahkamah Southwark Crown, London selepas mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak dengan niat untuk mengedarkannya.

Dia dihantar pulang ke Malaysia selepas menjalani hukuman penjara selama 9 bulan.

Kini, dia mengikuti program pasca siswazah doktor falsafah di UKM selepas mula mendaftar sebagai pelajar di institusi itu sejak 2016 bagi program pengajian peringkat ijazah sarjana muda.