5 perompak bersenjata M16, AK47 larikan 15kg emas di selatan Thai

Polis berkata, barang kemas yang dilarikan 5 perompak itu dianggarkan bernilai lebih 22 juta baht. (Gambar Bernama)

PATTANI: Barang kemas dianggarkan lebih 22 juta baht (kira-kira RM3.05 juta) dilarikan 5 individu, termasuk 2 wanita yang bersenjatakan M16 dan AK47 di sebuah kedai emas di Nathavi, Songkhla, selatan Thailand semalam.

Ketua Polis Daerah Nathavi, Akkarat Suansenn berkata dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari (waktu tempatan), 5 individu berpakaian seperti renjer melarikan 15kg emas di kedai emas terbabit yang terletak di tengah bandar Nathavi.

“Perompak bersenjatakan M16 dan AK47 menyerbu kedai emas itu dan melarikan barang kemas kurang daripada 10 minit.

“Mereka turut melarikan komputer yang bersambung kepada CCTV kedai tersebut,” katanya ketika dihubungi sambil menambah ketika kejadian, ada 4 pekerja wanita berada di kedai itu.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati suspek menggunakan van yang dirompak dari Pattani.

“Pemilik van membuat laporan polis di Nong Chik yang dia didatangi sekumpulan lelaki dan wanita mahu menyewa van ke Hatyai, Songkhla.

“Pemandu itu diikat tangan dan matanya ditutup sebelum ditinggalkan di sebuah ladang getah dan van tersebut dilarikan kumpulan itu.”

Katanya, van itu kemudiannya ditemui semula di Kampung Pobit Thai, Nathavi, kira-kira 15km dari lokasi rompakan itu.