Aktivis hak kanak-kanak bimbang cadangan tukar agama sebelah pihak di Selangor

James Nayagam berkata, kanak-kanak yang diambil secara paksa oleh salah seorang ibu atau bapa mereka selepas perceraian mungkin menghadapi trauma lebih serius atau krisis identiti ketika meningkat dewasa. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Aktivis hak kanak-kanak, James Nayagam memberi amaran mengenai kesan terhadap generasi muda jika kerajaan Selangor meneruskan rancangan untuk meminda undang-undang bagi membenarkan penukaran agama sebelah pihak.

Beliau yang mendapati penukaran agama kanak-kanak sedemikian akan membabitkan perceraian berkata, trauma yang mereka alami lebih teruk daripada kanak-kanak tidak bertukar agama apabila ibu bapa mereka bercerai.

Katanya, ia mungkin disebabkan permusuhan lebih besar antara ibu bapa berbeza agama dan trauma itu lebih serius jika anak diambil secara paksa oleh salah seorang ibu atau bapa.

“Seorang kanak-kanak mungkin terbatas kepada sesebuah kawasan tertentu, di mana beliau terputus hubungan daripada orang lain,” katanya kepada FMT.

Beliau yang mendakwa mempunyai pengalaman dengan kes sedemikian, berkata kanak-kanak kadangkala akan takut terhadap ibu atau bapa mereka.

Beliau turut menyentuh krisis identiti yang akan berlaku ketika kanak-kanak terbabit membesar.

“Saya sudah bercakap kepada orang dewasa juga dan ada di kalangan mereka tidak mengamalkan agama yang dipeluk mereka.”

Nagayam percaya penukaran agama yang mendapat kebenaran kedua-dua ibu dan bapa adalah cara terbaik untuk kanak-kanak.

Pakar psikologi, Geshina Ayu Mat Saat bersetuju dengan sesetengah perkara yang dibangkitkan Nayagam.

“Kanak-kanak yang ibu bapa mereka mengamalkan agama berbeza mungkin mengalami kekeliruan dan penderitaan atau mungkin tidak mengambil peduli terhadap agama kemudian.”

Tetapi, katanya, kesan penukaran agama itu ke atas kanak-kanak ketika meningkat dewasa bergantung kepada hubungannya dengan ibu dan bapanya sebelum serta selepas bercerai. Ia juga akan bergantung kepada sejauh mana agama diamalkan dalam keluarga itu.

Katanya, penderitaan dari segi rohani dan psikososial mungkin berlaku jika kanak-kanak itu berpegang kuat kepada satu agama, tetapi dipaksa mengamalkan agama lain.

“Ia mungkin tidak berlaku jika sudah ada sikap acuh tidak acuh terhadap agama dalam keluarga itu atau jika kepercayaan agama kanak-kanak itu sama dengan agama penjaga sahnya.”

Geshina berkata, remaja yang berdepan perceraian ibu bapa akan mempunyai pandangan dunia tersendiri dan hubungan rapat dengan salah seorang ibu bapanya.

Guru tadika, M Indira Gandhi yang terkenal dengan kesnya mencabar penukaran agama sebelah pihak 3 anaknya, berkata remaja yang berusia 18 tahun ke atas perlu diberi kebebasan untuk menentukan agama yang mereka mahu anuti.

Katanya, beliau percaya penukaran agama sebelah pihak tidak patut memecahbelahkan sesebuah keluarga.

“Mereka boleh membesarkan anak bersama. Jika bapa beragama Islam, biarkan beliau mendidik anak mengenai kebaikan Islam. Jika ibu beragama Hindu, biar beliau ajar agama itu kepada mereka.”

Dalam penghakiman bersejarah bagi kes Indira pada Januari 2018, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan penukaran agama anak bawah umur memerlukan kebenaran kedua-dua ibu dan bapa.

Selangor bercadang meminda enakmen negeri menerusi rang undang-undang untuk membenarkan penukaran agama anak bawah umur secara sebelah pihak, iaitu ibu atau bapa.