Berkesankah cara diet ‘Intermittent Fasting?’

Kini menjadi trend khususnya golongan wanita untuk lebih cantik dan kurus dengan mengamalkan “Intermittent Fasting”.

Kaedah ini menjadi popular lebih-lebih lagi ramai di kalangan artis yang mengamalkannya untuk tampil menawan meskipun sudah bergelar sebagai ibu.

Secara asasnya, ramai yang tidak tahu sejauh mana keberkesanannya, namun ramai yang ingin mencuba.

“Intermittent Fasting” ialah amalan puasa yang mana perut dan usus akan berehat daripada makan dalam tempoh 14 ke 16 jam.

Sebagai contoh 8 jam kita gunakan untuk makan, sedangkan baki 16 jam lagi kita berehat dari sebarang makanan atau minuman.

Kaedah ini juga tidak sama seperti diet lain kerana ia tidak fokus kepada apa yang perlu anda makan, tetapi kepada bila masa yang patut anda makan.

Terdapat 3 cara anda boleh amalkan dalam “Intermittent Fasting” ini:

1. Daily Intermittent Fasting (16/8)

Dalam tempoh 24 jam, 16 jam anda gunakan untuk berpuasa, manakala 8 jam lagi adalah masa untuk anda makan.

Sebagai contoh, jika hari ini anda makan malam jam 8, maka selepas makan anda perlu berpuasa sehingga jam 12 tengahari keesokan harinya.

Jadi bermula jam 12 tengahari pada Selasa, anda boleh makan sehingga 8 malam hari tersebut, kemudian anda perlu berpuasa lagi pada hari berikutnya.

2. Weekly Intermittent Fasting (Eat-stop-eat)

Ini lebih mudah untuk anda fahami, anda hanya perlu makan hari ini dan esok malam baru anda makan lagi.

Kaedah ini anda boleh lakukan 2 kali seminggu.

3. Alternate Day Intermittent Fasting

Kaedah ini membenarkan anda makan seperti biasa selama 4 hari, dan 3 hari lagi anda perlu berpuasa dalam tempoh 24 jam.

Sekiranya anda amalkan salah satu kaedah ini, secara normalnya jumlah kalori yang anda makan dalam tempoh seminggu akan berkurang.

Ini bermakna apabila jumlah kalori anda berkurang, maka berat badan anda juga akan berkurangan.

Daripada tiga kaedah di atas ini, ramai yang mengamalkan kaedah 16/8 kerana ialah lebih mudah untuk di amalkan dan ia juga paling popular.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]