Exco Perak setuju ambil cuti untuk fokus kes rogol

Paul Yong menyifatkan dakwaan beliau merogol pembantu rumahnya sebagai tidak berasas dan konspirasi yang membawa tekanan besar terhadap dirinya, keluarga dan rakan sekerjanya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Selepas mempertimbangkan kedudukannya dengan teliti, Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong setuju bercuti daripada tugasan rasminya bagi menumpukan perhatian terhadap pertuduhan merogol pembantu rumahnya.

Beliau akan memaklumkan keputusan itu kepada Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, hari ini.

“Ini untuk membolehkan saya memberi tumpuan kepada perbicaraan akan datang supaya saya boleh membersihkan nama saya dan membuktikan saya tidak bersalah.

“Saya juga merasakan kepentingan negeri perlu mendahului kepentingan peribadi seperti yang saya kerap lakukan sebagai ahli politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lalu, Faizal menasihatkan Yong bercuti daripada tugas rasminya sehingga perbicaraan kesnya selesai.

Tetapi, selepas mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan rogol pada Jumaat lalu, Adun Tronoh itu dilaporkan berkata, tiada sebab untuk beliau bercuti kerana belum disabitkan bersalah.

Hari ini, Yong sekali lagi menyangkal dakwaan rogol itu tidak berasas dan konspirasi yang membawa tekanan besar terhadap dirinya, keluarga dan rakan sekerjanya.

“Saya sudah mengarahkan peguam saya meminta mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan paling awal supaya saya boleh dibuktikan tidak bersalah secepat mungkin.”

Katanya, beliau akan terus berkhidmat kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri Tronoh seperti biasa, ketika bercuti daripada tugasan rasminya.