Hentikan sindrom penafian, kaji kadar kemiskinan, gesa veteran tentera

Persatuan Patriot Kebangsaan berkata, secara logiknya, 4 sekeluarga sukar hidup dengan pendapatan rendah RM980 sebulan di Lembah Klang.

PETALING JAYA: Kumpulan veteran tentera kecewa dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali menolak kenyataan seorang pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mempersoalkan tindakan Putrajaya menggunakan garis kemiskinan rendah dan tidak mencerminkan keadaan sebenar di Malaysia.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Mohamed Arshad Raji menyifatkan tindakan Azmin tidak berasas dan beliau patut meminta pegawainya menilai semula statistik serta asas pengiraan garis kemiskinan.

“Sindrom penafian dalam kalangan pegawai kerajaan kita apabila melakukan kesilapan perlu dihentikan.

“Secara logiknya, 4 sekeluarga sukar hidup dengan pendapatan rendah RM980 sebulan di Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Pelapor Khas PBB Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Philip Alston dilaporkan berkata, dakwaan Malaysia yang kemiskinan sudah dibasmi atau dalam jumlah kecil di kawasan luar bandar tidak menggambarkan keadaan sebenar dan mengecualikan penduduk mudah terjejas daripada statistik rasmi.

Katanya, garis kemiskinan kebangsaan ditetapkan pada RM980 setiap isi rumah sebulan untuk 4 sekeluarga hidup dengan RM8 seorang setiap hari terlalu rendah kerana kadar kemiskinan sebenar di Malaysia lebih tinggi daripada angka rasmi kerajaan.

Alston pernah bertemu keluarga yang tidak mampu membayar sewa, menghantar anak ke sekolah atau mendapatkan rawatan kesihatan kerana tidak dapat menanggung kos pengangkutan.

Semalam, Azmin yang kecewa dengan kenyataan Alston, berkata kadar kemiskinan sebenar kira-kira 15% dan Malaysia tetap dengan pendirian berhubung kadar kemiskinan tegar 0.4% pada masa ini daripada keseluruhan isi rumah pada 2016 atau 24,700 isi rumah.

Katanya, Garis Pendapatan Kemiskinan (PLI) bagi merumuskan tahap kemiskinan RM980 di peringkat nasional ketika ini dikira berdasarkan keperluan asas isi rumah untuk hidup dengan sihat dan aktif, iaitu lebih besar daripada PLI yang disasarkan dalam Matlamat Pembangunan Mampan 1 pada AS$1.25 sehari.

“Kadar kemiskinan ini dikira mengikut standard yang diterima antarabangsa berdasarkan edisi kedua Canberra Group Handbook on Household Income Statistics (2011) yang diterbitkan PBB,” kata Azmin.

Naikkan gaji minimum

Dalam kenyataan berasingan, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, kerajaan perlu mengkaji kesan gaji rendah yang secara langsung terikat dengan kadar kemiskinan.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata gaji minimum RM1,000 sebulan yang dilaksanakan sekarang perlu dinaikkan kerana ia tidak sejajar keadaan hidup semasa.

Beliau bagaimanapun menyambut baik jaminan Dr Mahathir Mohamad untuk mengkaji semula kadar kemiskinan dan kerajaan tidak patut berpura-pura semuanya dalam keadaan biasa apabila berjuta orang bergelut untuk menjalani kehidupan baik.

Katanya, penemuan Alston sejajar pendirian MTUC yang kerajaan tidak menggunakan faktor sebenar untuk menilai kemiskinan sebenar.

“Ia jauh tersasar. Jika perbezaan 1% atau 2% daripada garis kemiskinan 0.4%, maka pendirian kerajaan boleh diterima, tetapi penemuan PBB ialah 15% hingga 20%.

“Ini bermakna sekurang-kurangnya pendapatan sekitar 5 juta pekerja berada di bawah garis kemiskinan.”

Beliau mendapati buku panduan itu menunjukkan kadar kemiskinan 0.4% berdasarkan statistik kerajaan dikeluarkan pada 2011 dan tidak boleh dipercayai.

“Tujuh tahun lalu berlaku kenaikan mendadak dalam kos sara hidup dan kebanyakan gaji tidak berubah.

“Penafian Azmin mencerminkan beliau tidak tahu keadaan sebenar di peringkat akar umbi. Beliau tidak boleh jahil yang ramai rakyat Malaysia hidup dengan pendapatan pinjam untuk memenuhi keperluan asas mereka.

“Penafian hanya akan menyebabkan Malaysia terus menangguhkan matlamat menjadi negara maju pada tahun sasaran.”

Kemiskinan di daerah makmur Petaling Jaya

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata masalah kemiskinan turut membelenggu bandar makmur di kawasannya.

Katanya, kadar kemiskinan negara perlu mengambil kira keupayaan rakyat untuk hidup dengan sihat dan bermasyarakat serta berpeluang membina potensi peribadi dan keluarga.

“Malangnya, dalam pengalaman singkat saya sebagai ahli Parlimen Petaling Jaya, saya mendapati hal ini tidak dicapai ramai penduduk, meskipun mereka hidup bersebelahan jiran mereka yang lebih berada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberi contoh kaji selidik kecil dijalankan sukarelawan pakar pediatrik ke atas 46 kanak-kanak di Program Perumahan Rakyat Lembah Subang mendapati 11% daripada mereka mengalami pertumbuhan terbantut.

“Guru sekolah yang mempunyai ramai pelajar miskin bandar berusaha mengumpul dana untuk menyediakan makanan bagi pelajar mereka.

“Beberapa organisasi lain, termasuklah pejabat saya sedang menjalankan inisiatif untuk memberi bantuan makanan kepada golongan terpinggir.

“Di bandar yang makmur seperti Petaling Jaya, masalah ini sewajarnya diambil sebagai petanda kecil bagi masalah peringkat kebangsaan yang lebih memudaratkan.”

Katanya, walaupun kerajaan PH berusaha menangani masalah ini melalui Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pangkalan data e-kasih, ia tidak mencukupi atau sukar untuk diakses.

“Saya merayu kerajaan mengkaji beberapa laporan, contohnya Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati isi rumah berpendapatan kurang RM2,000 hanya mempunyai baki RM76 selepas perbelanjaan.

“Manakala laporan Bank Dunia mendapati 1 daripada 5 kanak-kanak mengalami pertumbuhan terbantut.

“Pelbagai kajian menunjukkan pengalaman sebenar rakyat di abad ke-21 tidak dicerminkan garis kemiskinan kebangsaan yang dirangka pada 1970-an.

“Meskipun kos sara hidup meningkat secara mendadak, garis kemiskinan kekal di paras sama.”