Kehidupan rakyat lebih selesa kini, Daim bidas kenyataan pelapor khas PBB

Daim Zainuddin (bertopi) bersalaman dengan orang ramai ketika menghadiri majlis perasmian Karnival Koperasi dan Bekwoh Perdana 2019 di Pantai Geting, Tumpat, Kelantan, semalam. Turut hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin (kanan). (Gambar Bernama)

TUMPAT: Kerajaan menumpukan usaha meningkatkan pendapatan rakyat sejak Rancangan Malaysia Kelima (RMK5), kata bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Daim Zainuddin.

Beliau berkata, antara dasar diperkenalkan kerajaan ketika itu adalah meningkatkan pendapatan dan mengurangkan inflasi agar rakyat dapat menggunakan wang lebih baik.

“Suka ataupun tak suka, kalau dibandingkan dengan dulu sampai sekarang, rakyat lebih selesa daripada dulu. Dulu mana jalan macam sekarang? Dulu mana ada titi (jambatan) macam sekarang?

“Dulu kita naik basikal, sekarang semua naik kereta, takkan tak ada kemajuan? Mesti ada kemajuan,” katanya selepas merasmikan Karnival Koperasi dan Bekwoh (Kenduri) Rakyat anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia di Pantai Geting di sini, semalam.

Daim mengulas dakwaan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Prof Philip Alston yang mendakwa Malaysia mempunyai “kemiskinan ketara” dan kadar kemiskinan sebenar kira-kira 15%.

Katanya, angka rasmi bergantung kepada langkah lapuk dengan garis kemiskinan kekal di tahap sama selama beberapa dekad, walaupun kos kehidupan semakin meningkat.

Mengenai khabar angin pertukaran portfolio beberapa menteri dalam masa terdekat, Daim berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Namun, dalam masa sama, beliau meminta masyarakat terus memberi maklum balas terhadap prestasi wakil rakyat yang dipilih mereka pada pilihan raya umum ke-14 tahun lalu.