Kerajaan perlu atasi ketidakseimbangan perdagangan dengan India, kata Teresa

Menteri Industri Utama Teresa Kok.

KUALA LUMPUR: Menteri Industri Utama Teresa Kok berharap untuk mengatasi ketidakseimbangan perdagangan dengan India bagi membolehkan lebih banyak minyak sawit masuk ke pasaran negara itu dengan duti import lebih rendah.

“Kita mahu imbangan perdagangan lebih adil dan berharap defisit di pihak India diatasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Konvoi Jalur Gemilang di Sri Petaling hari ini.

Dilaporkan bahawa menteri industri utama itu mengetuai Misi Pelaburan dan Ekonomi Minyak Sawit dan Getah selama 5 hari ke India 30 Julai lepas bagi memperkukuh hubungan perdagangan antara New Delhi dan Putrajaya.

Katanya, semasa lawatan ke India tahun lepas, negara tersebut meminta isu defisit perdagangan diatasi.

Beliau berkata, New Delhi juga meminta jika lebih banyak produk dari India boleh memasuki pasaran Malaysia, dengan menambah bahawa beliau akan bertemu agensi kerajaan berkaitan bagi membincangkan perkara itu.

Teresa berkata, beliau telah membangkitkan isu ketidakseimbangan perdagangan antara Malaysia dengan India dalam mesyuarat Kabinet.

“Berikutan itu, saya mungkin akan membincangkannya dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Pedagangan Antarbangsa dan Industri untuk melihat bagaimana kita boleh memperbaiki imbangan perdagangan antara India dengan Malaysia supaya lebih banyak minyak sawit kita boleh memasuki pasaran mereka dengan duti import lebih murah,” katanya.

Minggu lepas, India memulakan siasatan sama ada pertambahan mendadak dalam penghantaran minyak sawit bertapis dari Malaysia mengakibatkan kerosakan serius ke atas industri domestiknya, kata badan penyiasat Kementerian Perdagangan negara itu dalam satu kenyataan.

Eksport minyak sawit bertapis Malaysia ke India, yang merupakan pengimport terbesar minyak masak dunia, melonjak sebanyak 72% pada setengah tahun pertama 2019 kepada 1.57 juta tan berbanding tempoh sama tahun lepas, menurut data yang dikumpul oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Pada Januari, New Delhi mengurangkan duti import ke atas penghantaran minyak sawit bertapis kepada 50% daripada 54%.

Penghantaran dari Malasia dikenakan duti 45% berikutan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif yang ditandatangani 2 negara hampir sedekad lepas.

Dalam pada itu, ahli Parlimen Seputeh itu menyokong keputusan terbaru Kabinet untuk memperkenalkan perkhidmatan e-panggilan motosikal Gojek di Malaysia, dengan berkata, ia membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.

“Saya sokong cadangan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq ini.

“Saya fikir ia boleh menyediakan peluang pekerjaan baru kepada golongan muda,” katanya.

Kabinet baru-baru ini bersetuju untuk memperkenalkan perkhidmatan Gojek, sebuah syarikat gergasi berpangkalan di Indonesia yang menawarkan perkhidmatan e-panggilan motosikal yang turut beroperasi di negara Asean lain.

Kementerian Pengangkutan diberikan masa sebulan untuk mencadangkan peraturan berkaitan perkhidmatan itu, terutama isu keselamatan pembonceng dan perlindungan insurans.

Teresa berkata, perkhidmatan e-panggilan motosikal juga boleh membantu orang ramai yang tinggal di pusat bandar yang berdepan masalah kesesakan lalu lintas.