Kerajaan sedia bincang cadangan pentadbiran pusaka diletak bawah Mahkamah Syariah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa (tengah) turut mengambil bahagian dalam Kayuhan Rahmah Merdeka di Bagan Tiang, Perak hari ini. (Gambar Bernama)

PARIT BUNTAR: Kerajaan sedia bertemu dengan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) untuk membincangkan mengenai cadangan supaya enakmen pentadbiran dan pembahagian harta pusaka negeri dipinda dan diletakkan di bawah kuasa Mahkamah Syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof berkata, cadangan tersebut bertepatan dengan keperluan kepada orang Islam.

“Kita tahu isu pembahagian harta pusaka atau faraid hanya diamalkan oleh orang Islam dan ia adalah antara tuntutan agama, tapi bila kita nak menuntut ia bukan difailkan di Mahkamah Syariah, tapi difailkan di Mahkamah Sivil dan ini menimbulkan keresahan,” katanya.

Mujahid bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Kayuhan Rahmah Merdeka dan pelancaran Kelab Berbasikal Derah Kerian di Dewan Terbuka Bagan Tiang dekat sini hari ini yang disertai 200 peserta dengan jarak 30 km dari Parit Buntar ke Bagan Tiang.

Beliau mengulas kenyataan PPMM pada 23 Ogos lalu yang mencadangkan negeri meminda enakmen pentadbiran kes berkaitan pentadbiran dan pembahagian harga pusaka bagi orang Islam di letakkan dibawah bidang kuasa mahkamah Syariah sahaja.

Buat masa ini semua negeri kecuali Sabah, Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa untuk menentukan pembahagian harga pusaka kepada waris, manakala mahkamah sivil menyelesaikan isu berkaitan pentadbiran harga pusaka bagi orang Islam,

Dalam perkembangan lain, Mujahid menjangkakan program Rahmatal Lil Alamin akan mencapai kejayaan pada 2020 setelah usaha penerangan dilaksanakan sepenuhnya secara meluas di seluruh negara.

Mujahid berkata, berdasarkan program kempen, termasuk program Rahmah lebih 20,000 rakyat Malaysia diberikan and penerangan mengenai dasar itu melalui Program Rahmah, siri pembentangan Maqasid Syariah, Duta Rahmah dan Jelajah kampus.

“Sehingga kini kita tidak terganggu dengan ancaman oleh golongan yang sentiasa menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat dengan konsep Rahmatan lil Alamin,” katanya,