Lawatan Dr Mahathir ke Vietnam bermula esok perkukuh hubungan 2 hala

Vietnam merupakan rakan ekonomi penting bagi Malaysia dengan nilai dagangan Malaysia dan Vietnam berjumlah AS$13.3 bilion pada tahun lepas. (Gambar AFP)

HANOI: Lawatan rasmi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke Vietnam selama 3 hari bermula esok akan memperkukuhkan hubungan dan meningkatkan nilai dagangan 2 hala kepada AS$15 bilion pada tahun depan.

Duta Malaysia di Vietnam Shariffah Norhana Syed Mustaffa berkata, lawatan pertama Mahathir itu setelah memegang jawatan perdana menteri untuk kali ke-2, atas jemputan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc.

Beliau berkata, lawatan ini akan merapatkan hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terjalin selama 46 tahun, sejak 1973.

“Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan hubungan 2 hala kedua-dua negara dan untuk mempromosikan kerjasama baru dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan dan pelaburan, isu serantau dan antarabangsa” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Isu pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia dijangka dibincangkan dalam pertemuan kali ini, kata beliau.

Kali terakhir Mahathir mengadakan lawatan rasmi ke Vietnam adalah pada tahun 1996 dan menghadiri Sidang Kemuncak Asean pada 1998.

Shariffah Norhana berkata, Vietnam merupakan rakan ekonomi yang penting bagi Malaysia yang mana nilai dagangan Malaysia dan Vietnam berjumlah AS$13.3 bilion pada tahun lepas.

“Eksport Malaysia ke Vietnam mencecah AS$8.48 bilion manakala import dari Vietnam berjumlah AS$4.77 bilion.

“Kini Malaysia adalah rakan dagang ke-11 terbesar bagi Vietnam, manakala Vietnam pula adalah rakan dagang ke-13 terbesar bagi Malaysia di dunia dan ke-4 terbesar dalam Asean selepas Singapura, Thailand dan Indonesia,” katanya.

Mahathir akan diiringi isteri, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Luar Saifuddin Abdullah, pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Luar, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).