SPRM jangan lupa siasat kes rasuah Shafie dan Risda, kata Kitingan

Jeffrey Kitingan ialah presiden Parti Solidariti Tanah Airku.

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin pembangkang Sabah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bertindak adil dalam siasatan kes rasuah, jika ia membabitkan pemimpin Pakatan Harapan atau sekutu mereka.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan memuji Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya yang mengumumkan agensi anti-rasuah itu sedang meneliti semula kes yang sudah ditutup atau diklasifikasikan “tiada tindakan lanjut”.

Beliau berharap antara kes yang disemak semula itu ialah kes rasuah membabitkan Ketua Menteri, Shafie Apdal yang disoal siasat SPRM pada 2017, setahun sebelum beliau dilantik menerajui Sabah selepas menang dalam pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018.

“Untuk mengabaikan kes ini hanya kerana orang terbabit ialah sekutu kerajaan persekutuan sekarang adalah tidak adil dan keseluruhan proses itu hanyalah sandiwara jika ia bertujuan menekan pembangkang.”

Katanya, SPRM juga perlu membuka semula siasatan ke atas jualan tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang bernilai RM155 juta.

Kes itu membabitkan peguam, Michael Persius Ubu yang dilaporkan gagal hadir ke pejabat SPRM, walaupun dipanggil awal tahun lalu bersama Naib Presiden Warisan, Peter Anthony yang kini menteri pembangunan infrastruktur Sabah.

Anthony direman 3 hari, tetapi kes itu tidak diteruskan selepas SPRM gagal mengesan Ubu.

SPRM juga dilaporkan sedang meneliti kes membabitkan pemimpin di Sarawak, tetapi orang dalam agensi anti-rasuah itu berkata, mereka sedang memerhatikan beberapa bekas dan pemimpin sedia ada dalam kerajaan Sabah.

Setakat ini, hanya bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman dan Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin yang didakwa di mahkamah atas dakwaan rasuah. Kes Musa akan dibicarakan pada Jun tahun depan.

Kitingan turut disoal siasat SPRM sejurus selepas Warisan mengambil alih kepimpinan di Sabah pada 2018 atas satu dakwaan di media sosial yang beliau menerima RM20 juta untuk memihak Barisan Nasional selepas berlaku Dewan Undangan Negeri tergantung.

Kes itu tidak diteruskan selepas siasatan singkat SPRM.