SPRM siasat unsur komplot, monopoli dalam bidaan projek kerajaan

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya.

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat pihak yang berkomplot dan memonopoli bidaan projek kerajaan.

Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya mengakui SPRM menerima banyak laporan kes berkenaan tender dan perolehan kerajaan dan perkara itu dalam perhatian dan tindakan pihaknya.

“Banyak laporan kes berkenaan perolehan tender dan sebagainya (diterima), tetapi kita (SPRM) tidak boleh dedahkan maklumat ini lagi kerana dikhuariti akan mengganggu siasatan,” katanya kepada pemberita pada Program Gohek Beskal dan Khabak Merdeka 2019 di Bukit Besar, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar tempatan hari ini yang mendedahkan, sekurang-kurangnya 10 projek kerajaan bernilai jutaan ringgit kini dalam siasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana syarikat pemenang tender itu disyaki berkomplot dalam bidaan, hingga menyebabkan ketirisan dana awam.

Latheefa berkata, Program Gohek Beskal dan Khabak Merdeka 2019 merupakan satu inisiatif SPRM, untuk memerangi gejala rasuah dalam kalangan golongan muda.

Katanya, hal ini kerana kes rasuah melibatkan golongan muda kini membimbangkan dan antara faktor utama masalah tersebut adalah kurangnya pendedahan dan kesedaran tentang rasuah dalam kalangan golongan itu.

“Kami akan tingkatkan program bersifat pencegahan, selain daripada sekadar membuat operasi atau tangkapan. Kami ingin menekankan berkenaan program yang lebih kepada mendidik dan membuat pencegahan,” katanya yang turut mendaki puncak Bukit Besar bersama kira-kira 100 anak muda tempatan.