Tangguh pengajaran Jawi hingga selesai perbincangan lanjut, kata NGO

Wakil 30 NGO daripada Gabungan Badan Bertindak Seni Khat (Sekat) menyilang tangan sebagai tanda bantahan terhadap langkah Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah.

KUALA LUMPUR: Gabungan 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebangsaan dan parti politik dari semenanjung, Sabah dan Sarawak menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan pengajaran tulisan Jawi sehingga satu perbincangan lanjut dan telus dengan semua pihak berkaitan dibuat.

Setiausaha Gabungan Badan Bertindak Seni Khat (Sekat) Arun Dorasamy berkata, tidak ada presentasi atau perbincangan dengan Kementerian Pendidikan, selain menambah bahawa keputusan berhubung perkara itu dibuat secara terburu-buru.

“Gabungan ini membantah pelaksanaan pengajaran tulisan Jawi dalam silibus, terutama dalam kalangan pelajar bukan Islam.

“Kami dapati ia tidak perlu. Kami berbeza pandangan dengan kementerian dalam perkara ini. Kami percaya semua rakyat Malaysia akan bersetuju jika kita memperkukuhkan Bahasa Malaysia.

“Kami tidak yakin dengan kementerian dan ketelusannya. Dalam proses ini, mereka dari Sabah dan Sarawak telah diketepikan,” katanya pada satu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini.

Kabinet baru-baru ini memutuskan untuk menukar nama pengajaran khat kepada “tulisan Jawi” dan akan diperkenalkan tahun depan dalam silibus murid Tahun 4 di sekolah vernakular walaupun dibantah oleh beberapa kumpulan masyarakat.

Bagaimanapun ia dijadikan pengajaran pilihan dan tidak dimasukkan dalam peperiksaan.

Kabinet juga bersetuju tulisan Jawi akan diperkenalkan hanya selepas ia dipersetujui oleh persatuan ibu bapa guru (PIBG) dan ibu bapa murid.

Kumpulan pendidikan Cina dan India, termasuk Dong Zong membantah keputusan itu.

Arun berkata, persiapan untuk memperkenalkan tulisan Jawi kelihatan kelam kabut.

“Kegagalan mengadakan perbincangan terbuka dan menyeluruh dengan semua pihak menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka.”

Katanya, gabungan itu akan menghantar satu memorandum kepada kementerian dan anggota Kabinet.

Beliau berkata, Sekat akan berkunjung ke Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan maklum balas berhubung perkara itu.

Katanya, gabungan itu juga akan melihat kemungkinan memfailkan semakan kehakiman mengenainya.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan bertegas untuk meneruskan keputusan memperkenalkan tulisan Jawi tanpa membincangkannya dengan pihak berkaitan, Sekat akan menganjurkan “Hari Tidak Hadir ke Sekolah” di seluruh negara bagi menunjukkan bantahan mereka dengan kerjasama ibu bapa yang tidak mahu anak mereka mempelajari Jawi.

Ini katanya adalah langkah terakhir bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

Timbalan presiden Persatuan Anak Borneo Semenanjung (ABS) Gangging @ Ling Sanggau menyuarakan bantahannya terhadap pengajaran tulisan Jawi di sekolah, dengan berkata, ramai murid di kawasan luar bandar di Sarawak tidak beragama Islam.

Katanya, adalah lebih baik diperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris seperti dicadangkan ketua menteri Sarawak sebelum ini.

“Kita hidup dalam negara berbilang kaum, jadi saya meminta Kementerian Pendidikan supaya tidak meneruskan keputusan itu.”