Thailand: Lebih 5,000 biji durian habis dimakan dalam 30 minit

Bufet durian dan buah-buahan tempatan anjuran Majlis Pentadbiran Mukim Tanah Merah, Betong mendapat sambutan hangat penduduk tempatan serta pelancong Malaysia dan Singapura.

YALA: Lebih 5,000 biji durian habis dimakan dalam masa kurang 30 minit pada pesta makan durian dan buah-buahan tempatan di Betong, Yala, selatan Thailand hari ini.

Kira-kira 3,000 pengunjung dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang berkunjung ke Kg Piyamit di Mukim Tanah Merah untuk menikmati keenakan raja buah secara percuma.

Bufet durian dan buah-buahan tempatan anjuran Majlis Pentadbiran Mukim Tanah Merah, Betong itu mendapat sambutan hangat kalangan penduduk tempatan serta pelancong Malaysia dan Singapura.

Presiden Majlis Pentadbiran Mukim Tanah Merah Wirat Saethan berkata, pesta makan durian secara percuma yang masuk tahun ke-8 itu mendapat sambutan ramai.

“Pesta ini bertujuan untuk mempromosikan durian dan buah-buahan tempatan selain memperkenalkan produk pelancongan di Betong,” katanya.

Selain menikmati durian, pihak penganjur turut mengadakan pertandingan makan buah-buahan tempatan dan makanan seperti makan ayam Betong dan mee goreng Betong.