Zuraida tolak dakwaan Zahid mengenai komplot anti-Mahathir

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin.

SHAH ALAM: Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin menolak dakwaan Umno mengenai kemungkinan Pakatan Harapan (PH) akan berpecah dengan berkata, masalah yang berlaku dalam gabungan politik itu tidak akan menggugat kredibiliti kerajaan pusat.

Rakyat akan menilai kerajaan berdasarkan perestasinya, kata beliau.

“Setakat ini saya lihat menteri dan kementerian yang ada dalam kerajaan sekarang menampakkan peningkatan prestasi. Mereka dapat menyesuaikan diri dan menunjukkan keserasian dan dapat menjalankan tugas lebih cepat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen Wanita PKR Selangor.

Beliau menolak dakwaan Umno bahawa pertelingkahan dalaman akan menyebabkan PH kecundang dengan menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah yang bertujuan memecahkan gabungan politik tersebut.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamid meramalkan perpecahan PH hari ini dalam satu ucapan pada pembukaan persidangan agung tahunan ke-73 MIC.

Beliau berkata, kerajaan bergelut untuk kekal relevan dan Perdana Menteri Dr Hamathir Mohamad dan juga pengerusi PH kini keseorangan kerana PKR di bawah Anwar Ibrahim dan pemimpin DAP Lim Kit Siang sedang aktif mengatur strategi menentang kepimpinan beliau.

“Tak perlu dengar cakap pembangkang. Itu memang kerja dia untuk wujudkan keraguan. Jadi tak perlu beri perhatian,” kata Zuraida yang juga merupakan menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

“Sebagai menteri Kabinet di bawah kepemimpinan Mahathir, kita harus sokong dn laksanakan tugas yang diamanahkan,” katanya.

Pemimpin PKR Selangor Amirudin Shari, yang turut hadir berkata, Mahathir tidak bersendirian. Ramai ahli Umno kini melompat memasuki PPBM dan ramai anggta Barisan Nasional (BN) menyokong PH.

“Jadi janganlah cakap Mahathir keseorangan. BN yang semakin sikit,” kata Amirudin.

Zuraida juga diminta mengulas ketidakhadiran timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali ke mesyuarat pemimpin parti itu.

Beliau berkata, “ia perkara biasa. Kita lihat pemimpin perlu jalankan tugas yang harus diberikan perhatian. Jadi ia bukan isu.”