Mahkamah benar Najib, Shafee cabar pelantikan Sri Ram sebagai pendakwa

Najib Razak dan peguam beliau Muhammad Shafee Abdullah diberikan kebenaran untuk mencabar pelantikan Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memberi kebenaran kepada Najib Razak dan peguam beliau, Muhammad Shafee Abdullah untuk mencabar keputusan peguam negara melantik peguam kanan, Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan.

Panel 3 hakim diketuai Hasnah Mohamed Hashim berkata, terdapat merit dalam rayuan kedua-dua responden bagi membenarkan permohonan semakan kehakiman mereka.

“Sifat dan bidang kuasa dalam satu semakan kehakiman dan usul hilang kelayakan yang difailkan di mahkamah jenayah adalah berasingan dan berbeza.

“Isu pertindihan tidak timbul kerana remedi yang dimohon juga berlainan,” kata Hasnah ketika membenarkan rayuan bekas perdana menteri itu dan Shafee.

Beliau berkata, permohonan semakan kehakiman tersebut boleh dibahaskan dan tidak remeh.

“Kami membenarkan kedua-dua rayuan dan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 20 Feb,” kata Hasnah yang bersidang bersama-sama Lau Bee Lan dan Has Zanah Mehat.

Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata, Sri Ram akan mengetuai pasukan pendakwaan apabila perbicaraan 1MDB bermula di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.

“Kami juga akan memutuskan langkah berikutnya berhubung keputusan Mahkamah Rayuan hari ini,” kata Akram yang hadir bersama-sama Peguam Negara Tommy Thomas sebagai responden.

Bagaimanapun, Shafee, yang akan mengetuai pasukan pembelaan dalam kes 1MDB berkata, pendakwa harus membuat permohonan untuk menangguhkan kes tersebut.

“Terserah kepada mereka,” kata peguam kanan itu yang dibantu oleh Harvinderjit Singh hari ini.

Najib dan Shafee mencabar keputusan peguam negara untuk melantik Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan di bawah Seksyen 376 Kanun Prosedur Jenayah.

Shafee berkata, peruntukan itu hanya terpakai ke atas timbalan pendakwa raya yang merupakan pegawai awam dan tertakluk di bawah perkhidmatan kehakiman dan perundangan.

Beliau dan Najib juga mahu membatalkan kelayakan Sri Ram sebagai pendakwa dalam mana-mana kes jenayah melibatkan mereka.

Sri Ram dan peguam Sulaiman Abdullah dilantik oleh Thomas sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes 1MDB dan SRC International Sdn Bhd tahun lepas.

Sri Ram juga ditugaskan untuk mengetuai pihak pendakwaan dalam kes International Petroleum Investment Co (IPIC) melibatkan Najib dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau juga ditugaskan sebagai pendakwa dalam kes melibatkan isteri Najib, Rosmah Mansor, anaknya Riza Aziz dan bekas pegawai khas Najib, Rizal Mansor kerana pertuduhan rasuah dan pengubahan wang.

Sri Ram turut ditugaskan mendakwa Shafee, yang berdepan 4 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram kerana menerima wang sebanyak RM9.5 juta daripada Najib.

Pada 7 Ogos, panel hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun Tuan Mat menolak percubaan terakhir Najib untuk menghalang Sri Ram daripada membuat pendakwaan dalam kes 1MDB.

Dalam pada itu, pada 20 Feb, hakim Azizah Nawawi berkata, beliau tidak akan membenarkan permohonan semakan kehakiman kerana Mahkamh Tinggi jenayah turut mendengar permohonan sama oleh Shafee dan Najib.