SPRM seru contohi Sarawak wujud unit integriti di pejabat MB, KM

Latheefa Koya.

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa semua negeri mewujudkan unit integriti di pejabat menteri besar atau ketua menteri dalam usaha mencegah amalan rasuah atau penyelewengan.

Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya berkata setakat ini hanya Sarawak yang mengambil tindakan itu dengan mewujudkan Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (Union).

“Saya berharap negeri lain akan mencontohi langkah Sarawak dalam mengelak sebarang tohmahan dan memulakan proses ketelusan pentadbiran.

“Ini kerana potensi berlakunya rasuah lebih besar di peringkat negeri-negeri berbanding kerajaan persekutuan kerana negeri mempunyai lebih banyak akses kepada pelbagai sumber seperti pembalakan dan perkara berkaitan tanah,” katanya selepas sesi dialog syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan industri perhotelan Terengganu bersama ketua pengarah SPRM hari ini.

SPRM akan meletakkan pegawai kanannya di unit integriti pejabat menteri besar atau pejabat ketua menteri untuk memastikan tadbir urus yang telus.

“Selain unit integriti, pengisytiharan harta Adun dan ketelusan dalam isu-isu berkaitan perolehan juga sangat membantu kerajaan negeri dalam mewujudkan pentadbiran yang bebas dari amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Setakat ini, Perak negeri pertama yang mewajibkan semua Adun mengisytiharkan harta. Saya harap negeri lain juga akan mengikut langkah yang sama tanpa mengira ia negeri pembangkang atau bukan pembangkang.

“Pertemuan saya dengan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar malam tadi juga ada berbincang mengenai perkara ini dan beliau sangat komited dengan cadangan itu di mana usul itu akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu akan datang…kita akan tunggu proses itu dan membantu pelaksanaannya,” katanya.