3 suspek pecah masuk kilang di Bukit Mertajam ditembak mati

3 penjenayah pecah masuk kilang ditembak mati ketika berbalas tembakan dengan polis di Bukit Mertajam.

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menembak mati 3 lelaki yang disyaki memecah masuk ke dalam kilang di kawasan perindustrian di Bukit Mertajam pagi ini.

Ketua Polis negeri T Narenasagaran berkata identiti lelaki berkenaan yang berusia 20-an dan 30-an masih belum dipastikan dan mayat sudah dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Pada sidang akhbar hari ini, Narenasagaran berkata, polis terserempak pencuri itu yang berada di dalam Toyota Camry semasa membuat rondaan di kawasan perindustrian Permatang Tinggi di Bukit Mertajam pada jam 2 pagi.

“Pasukan kami yang terdiri daripada 12 anggota sudah berada di kawasan itu kerana kami menerima maklumat bahawa penyamun akan mula bertindak,” katanya.

Narenasagaran berkata ketika polis mendekati Camry itu dan mengarahkan penumpannya keluar, kereta itu memecut meninggalkan lokasi kejadian. Beliau berkata pihak polis mengejar kereta terbabit sehingga pemandunya hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang.

“Mereka kemudian keluar dari kereta dan mula menembak polis, dengan seorang daripadanya cuba menyerang seorang anggota polis dengan parang. Untuk mempertahankan diri, kami terpaksa menembak mereka,” katanya.

Narenasagaran berkata polis menjumpai 2 butir peluru yang digunakan untuk menembak polis. Beliau berkata 6 butir peluru Col. 38 ditemui bersama mereka.

Beliau berkata 3 lelaki itu disyaki melakukan 15 jenayah pecah masuk kilang di Bukit Mertajam, dengan kerugian hampir RM620,000. Beliau berkata lelaki itu adalah pakar membuka peti besi.

“Kami percaya kumpulan itu mempunyai anggota lain dan kami sedang memburu mereka,” katanya.