Kementerian Kewangan tubuh Jawatankuasa Khas Kewangan Islam

Amiruddin Hamzah.

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan Malaysia hari ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Kewangan Islam (JKKI) bagi mempromosikan dan menggalakkan pembangunan kewangan Islam seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.

Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah berkata JKKI bermatlamat untuk mengukuhkan hala tuju mempromosikan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam terutamanya dalam pasaran sukuk.

“Ini juga mengukuhkan usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam kewangan Islam serta sebagai penyedia perkhidmatan sokongan kewangan Islam utama di peringkat global,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Kewangan Islam Bil 2/2019.

Amiruddin berkata JKKI juga akan menyelaras peranan dan tanggungjawab semua pihak berkepentingan ke arah meningkatkan industri kewangan Islam, selain memperkukuhkan peranan sektor awam sebagai pemacu industri, serta menggalakkan usaha meningkatkan kesedaran awam.

JKKI akan dipengerusikan Amiruddin dan dianggotai 9 pengawal selia serta pakar kewangan Islam.

Antaranya, Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Mohd Daud Bakar, Presiden Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia (AIBIM), Adissadikin Ali dan Pengerusi Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM), Mohd Rafique Merican Mohd Wahiduddin Merican.

Beliau berkata tahap kewangan Islam agak memberangsangkan jika dibandingkan dengan konvensional.

Beliau berkata kewangan Islam di negara ini di sukuk kedua berada paras yang baik iaitu sebanyak 8.6% berbanding Konvensional iaitu berjumlah 2.1%.