Pengetua sekolah tahfiz akui silap senaraikan hukuman ‘tak masuk akal’

KUCHING: Pengetua sebuah sekolah tahfiz akui menghantar borang persetujuan ibu bapa yang menyenaraikan hukuman “tak masuk akal” tetapi nafi pernah mengenakan hukuman-hukuman itu pada pelajar-pelajar.

Menteri Muda Sarawak, Abdul Rahman Junaidi berkata, berdasarkan laporan yang diterima, borang persetujuan ibu bapa itu bertujuan untuk menghalang pelajar-pelajar Pondok Hidayatul Mubtadi’ien ponteng atau berkelakuan tidak baik.

“Sekolah tahfiz itu akui kesilapan mereka,” kata Rahman, yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Islam.

Rahman berkata semua sekolah tahfiz mesti memaklumkan Jabatan Agama Islam Sarawak jika mahu mengenakan peraturan baru.

Beliau akan bertemu semua pentadbir sekolah tahfiz di Kuching dan Samarahan minggu depan.

Semalam, seorang pengguna Twitter berkongsi borang persetujuan ibu bapa itu dan menggesa Menteri Pendidikan Maszlee Malik menyiasatnya.

Menurut borang itu, ibu bapa diminta membenarkan sekolah sekolah mengambil tindakan disiplin, termasuk rotan dan simbah air najis terhadap pelajar-pelajar.

Ia berkata mereka yang tidak melanjutkan pengajian agama tidak akan diberi sijil berhenti.