SIS gagal batal fatwa Selangor

Peguam yang mewakili Sisters in Islam, Surendra Ananth (tengah) bersama Pengarah Eksekutif SIS, Rozana Isa (kanan) dan Pengurus Programnya, Shareena Sheriff.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan kumpulan hak wanita, Sisters in Islam (SIS) untuk mencabar satu fatwa yang dikeluarkan terhadapnya 5 tahun lalu.

Hakim Nordin Hassan berkata, keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor itu sejajar enakmen negeri.

“Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 121A menyatakan perkara berkaitan undang-undang syariah sepatutnya di bawah bidang kuasa undang-undang negeri.

“Mahkamah sivil tiada bidang kuas auntuk mendengar isu berkaitan undang-undang syariah negeri.

Pada 31 Oktober 2014, SIS memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan kumpulan itu menyeleweng daripada ajaran Islam.

Pada 25 September 2018, Mahkamah Persekutuan memerintahkan permohonan semakan kehakiman SIS dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran merit kes, selepas menerima persetujuan daripada SIS, Jawatankuasa Fatwa negeri, Majlis Agama Islam Selangor dan kerajaan Selangor.

Persetujuan itu membenarkan pihak berkuasa agama membangkitkan sebarang isu, termasuk sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes SIS, pengasas bersamanya, Zainah Mahfoozah Anwar dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim.

Nordin dalam penghakiman hari ini berkata SIS masih boleh mendapatkan remedi di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor melalui permohonan semakan kehakiman.

“Seksyen 66A enakmen negeri membenarkan pihak terbabit memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Syariah negeri tanpa sebarang had masa.”

Beliau juga tidak bersetuju dengan hujah SIS yang pihak berkuasa agama negeri tiada kuasa ke atasnya kerana ia merupakan sebuah syarikat.

“Syarikat itu dan pengarah SIS Forum ialah umat Islam dan aktiviti mereka ada kaitan undang-undang Islam. Fatwa itu boleh digunakan.”

Mahkamah mengarahkan SIS membayar kos sebanyak RM10,000 kepada kerajaan Selangor dan Mais.

Pengarah Eksekutif SIS, Rozana Isa berkata kumpulan itu kecewa dengan keputusan hari ini.

“Ini adalah keputusan tidak baik ke atas kumpulan wanita Islam dan rakyat Malaysia secara umumnya.”

Bagaimanapun, beliau berkata, SIS akan terus memperjuangkan hak wanita.

Katanya, beliau akan berbincang tindakan lanjut dengan peguam SIS, termasuk sama ada mahu memfailkan rayuan atau mencabar fatwa itu di Mahkamah Syariah.

Aktivis sosial, Marina Mahathir berkata keputusan mahkamah hari ini ialah duluan bahaya.

“Apa yang saya faham, jika seorang umat Islam menjadi pengarah sebuah syarikat, beliau boleh dibicarakan di bawah undang-undang syariah.”