Bos teksi mohon maaf atas kenyataan Indonesia miskin

Pengasas Big Blue Taxi Services, Shamsubahrin Ismail.

KUALA LUMPUR: Pengasas Big Blue Taxi Services, Shamsubahrin Ismail hari ini memohon maaf atas kenyataan yang didakwa menghina penunggang Gojek dan Indonesia.

“Saya memohon maaf atas kenyataan saya melabelkan rakyat Indonesia miskin. Saya tidak terlintas langsung nak menghina.

“Indonesia tetap dihati saya dan begitu juga rakyat Indonesia,” katanya pada sidang media hari ini.

Semalam, media melaporkan penunggang Gojek mengancam akan mengadakan demonstrasi di Kedutaan Malaysia di Jakarta bagi membantah kenyataan Shamsubahrin.

Ketua Nasional Gabungan Aksi Roda Dua (Garda) Indonesia, Igun Wicaksono berkata, mereka merancang untuk menunjuk perasaan pada 3 September ini jika Shamsubahrin tidak memohon maaf secara terbuka.

Mereka juga mahu menyerahkan surat bantahan kepada Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar.

Perkembangan ini susulan penyebaran video Shamsubahrin yang dianggap menghina penunggang Gojek dan Indonesia.

Sementara itu, Shamsubahrin hari ini berkata pihaknya tidak akan menghalang usaha kerajaan memperkenalkan semula perkhidmatan perkongsian motosikal seperti Gojek.

Beliau bagaimanapun mahu kerajaan menjamin keselamatan penumpang.