Pengarah perkenalkan Julia Rais ke layar perak meninggal dunia

Pengarah filem dan drama terkenal, Raja Ahmad Alauddin, 62 tahun menghembus nafas terakhir di kediamannya, di ibu negara pagi tadi.

Pengarah yang memperkenalkan Julia Rais ke layar perak dan terkenal dengan filem, Hati Bukan Kristal, Kayangan, Lurah Dendam dan Qaisy dan Laila itu dilaporkan meninggal dunia dalam tidur.

Difahamkan pelakon Shukri Yahya mengetuk pintu kediaman Allahyarham yang terletak di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya namun tiada balasan sebelum mengambil tindakan menghubungi polis dan bomba untuk membantu memasuki rumahnya.

Allahyarham turut terkenal dengan arahan Curi-Curi Cinta, drama romantik lakonan Zaharah MacWilson dan Aiman Hakim Ridza yang pernah ditayangkan di slot Mega Drama Astro Ria, April lalu.

Selain itu, nukilan popular Allahyarham termasuk teledrama Arianna Rose, Demi Cinta Ain dan Hanya Di Atas Kertas.

Menurut pengarah dan sutradara filem, Habsah Hassan, beliau amat terkejut mengetahui pemergian teman rapatnya itu.

Menurut Habsah yang mesra dengan panggilan Kak Chah, Allahyarham memulakan karier dengan syarikat produksinya, Serangkai Filem Sdn Bhd dan merupakan seorang yang begitu komited dan berdedikasi.

Allahyarham memulakan karier dalam industri filem dan drama sebagai seorang pelatih. Beliau seorang yang ringan tulang, tidak kekok melakukan kerja-kerja belakang tabir bersama dengan kru produksi dan sangat merendah diri,” kata Habsah.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Shah Alam, Selangor dan akan dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam petang ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]