Rumah mampu milik tanggungjawab bersama, kata gabenor BNM

Gabenor Bank Negara Malaysia Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, walaupun terdapat permintaan terhadap rumah mampu milik, pemaju membina rumah yang berharga di luar kemampuan majoriti rakyat Malaysia.

KUALA LUMPUR: Perumahan mampu milik yang sesuai adalah asas kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan seterusnya dapat memastikan kelancaran fungsi ekonomi.

Namun di seluruh dunia, di negara membangun mahupun negara maju, kebanyakan bandar raya bergelut untuk memenuhi keperluan tersebut.

Sejajar dengan komitmen negara untuk menyediakan rumah mampu milik dan mencukupi bagi semua peringkat pendapatan, terutamanya bagi kumpulan berpendapatan rendah, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Shamsiah Mohd Yunus menegaskan rumah mampu milik adalah tanggungjawab bersama dan kerajaan sedang mengkaji bagaimana penyedia prasarana boleh memainkan peranan dalam mengurangkan kos rumah.

“Terdapat 3 komponen yang membentuk perkadaran terbesar kos, iaitu tanah, pembinaan dan prasarana,” katanya dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

“Terdapat kesedaran tinggi sekarang tentang keperluan untuk mengurangkan kos. Bagi kos tanah, kerajaan bekerjasama dengan kerajaan negeri berkaitan mekanisme untuk mengurangkan kos.

“Bagi kos pembinaan, kerajaan berhasrat untuk memanfaatkan teknologi seperti IBS (Sistem Binaan Berindustri) untuk mengurangkan kos,” katanya.

Menjelas lebih lanjut, Nor Shamsiah berkata, “lebih penting adalah mengguna pakai strategi bagi meningkatkan tahap pendapatan isi rumah untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat.”

Bagi tempoh 2007-2016, pertumbuhan harga rumah mengatasi pendapatan isi rumah.

Berdasarkan kepada pendekatan pelbagai median, sebuah rumah dianggap tidak mampu milik sekiranya berharga lebih 3 kali ganda daripada pendapatan isi rumah tahunan. Malaysia berada pada 4.8 kali.

“Mari kita ambil B40 sebagai contoh. Dengan pendapatan bulanan median sebanyak RM3,000, mereka hanya boleh mampu membeli rumah berharga sekitar RM108,000, 3 kali ganda pendapatan tahunan mereka.

“Jika anda lihat pada 68% daripada jumlah unit kediaman yang tidak terjual, ia berharga di atas RM300,000. Itulah sebabnya mengapa kita juga perlu menangani ketidakpadanan penawaran-permintaan ini.

“Meskipun terdapat permintaan terhadap rumah mampu milik, pemaju membina rumah yang berharga di luar kemampuan majoriti rakyat Malaysia,” katanya.

Baru-baru ini, bank pusat meningkatkan kriteria kelayakannya bagi mereka yang mahu membeli hartanah di bawah Dana bagi Rumah Mampu Milik BNM yang berjumlah RM1 bilion.

Berkuat kuasa 1 Sept, 2019, individu yang merancang memohon pembiayaan membeli rumah mampu milik layak berbuat demikian sekiranya mereka mempunyai pendapatan isi rumah bulanan maksimum RM4,360, naik 86% daripada had paras pendapatan sebelum ini pada RM2,300 sebulan.

Selain itu, harga hartanah maksimum akan dinaikkan kepada RM300,000 daripada RM150,000. Terma baru ini akan membantu pembeli daripada kumpulan pendapatan ini untuk memperoleh pembiyaan membeli rumah pertama mereka.

Sementara itu, beliau juga menegaskan tentang kepentingan garis panduan mengenai pembiayaan bertanggungjawab.

“Garis panduan mengenai pembiayaan bertanggungjawab masih relevan kerana objektif utama garis panduan adalah untuk memastikan peminjam dapat membiayai pinjaman dan boleh mendapat manfaat daripadanya.

“Oleh itu, sekiranya pelanggan membuat pinjaman untuk membeli rumah, pelanggan akan dapat memiliki rumah itu pada akhir tempoh pinjaman mereka. Kemudiannya, bank dan peminjam juga harus bertanggungjawab dalam keputusan tersebut,” katanya.

Garis panduan pembiayaan bertanggungjawab bank pusat adalah untuk melindungi kepentingan peminjam dengan memastikan mereka yang meminjam mempunyai keupayaan untuk membayar balik sehingga akhir tempoh pinjaman dan kemudiannya memiliki hartanah itu.

Ini berbeza dengan semata-mata membeli rumah dahulu dan kemudiannya gagal melunaskan pinjaman mereka dan akhirnya kehilangan hartanah.

Sementara itu, Nor Shamsiah berkata banyak usaha yang telah dilakukan untuk mendidik pengguna berkaitan dengan pengurusan kredit dan kewangan, terutamanya menerusi Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK), yang semakin mendapat perhatian.

AKPK adalah agensi yang ditubuhkan oleh BNM untuk membantu individu mangawal kewangan mereka menerusi pengurusan kewangan berhemat dan pendidikan kewangan.

Celik kewangan adalah antara faktor yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif. Ia merupakan barisan pertahanan pertama bagi pengguna untuk melindungi hak mereka ketika berdepan dengan amalan pasaran yang tidak adil.

Pada masa yang sama, untuk meringankan bebanan rakyat dalam menghadapi peningkatan kos hidup, terutamanya bagi kumpulan M40 dan B40, beliau berkata, BNM memberi penekanan kepada kepentingan meningkatkan kemahiran teknikal, pembaharuan pasaran buruh dan sistem pendidikan.

“Perlu ada kerjasama antara penyedia latihan dan pemain industri bagi memastikan Malaysia melahirkan graduan dengan kemahiran yang betul,” katanya.