Saya tak merujuk pada sesiapa, Dr M jawab isu “paria”

Dr Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad menjelaskan dia langsung tidak merujuk kepada masyarakat India ketika menggunakan perkataan “paria” ketika mengulas isu berkaitan Lynas Corp, mengulas laporan polis yang dibuat oleh ahli PKR terhadapnya.

“Saya tidak merujuk kepada sesiapa, siapa yang saya rujuk?” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Perdana menteri mengulas laporan polis oleh V Maneyvannan di Balai Polis Sungai Kapar, mendakwa perkataan itu mengguris hati masyarakat India.

Maneyvannan bersama 3 individu lain mahu Mahathir memohon maaf secara terbuka dan menggesa polis mengambil tindakan sewajarnya.

Pada Isnin lalu, Mahathir dilaporkan berkata, Lynas Corporation tidak boleh diminta keluar dari negara ini “seperti paria” kerana ia akan merosakkan pelaburan masa depan di Malaysia.

Dalam pada itu, perdana menteri memaklumkan masalah Lynas akan diselesaikan dalam jangka masa terdekat.

Sementara itu, Mahathir turut mengkritik laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkenaan kemiskinan di Malaysia, yang menurutnya tidak melihat gambaran secara menyeluruh.

“Ada orang yang datang ke sini sehari, kemudian duduk di hotel besar dan buat keputusan,” katanya, merujuk kepada Pelapor Khas PBB, Philip Alston.

Alston sebelum ini berkata garis kemiskinan kebangsaan, yang ditetapkan pada RM980 setiap isi rumah sebulan, adalah terlalu rendah, kerana kadar kemiskinan sebenar di Malaysia lebih tinggi daripada angka-angka rasmi kerajaan.