2 NGO desak PM pecat, dakwa Azmin kerana video seks sejenis

Mohamad Ali Mohamad (berkopiah) daripada Sekretariat Suara Rakyat bersama wakil Pertubuhan Bangkit menyerahkan laporan forensik ke atas video seks sejenis yang dilakukan Verden Forensics kepada wakil Dr Mahathir Mohamad di Jabatan Perdana Menteri hari ini.

PUTRAJAYA: Dua badan bukan kerajaan mendesak Dr Mahathir Mohamad memecat Mohamed Azmin Ali dan membawa menteri hal ehwal ekonomi itu ke muka pengadilan atas dakwaan melakukan seks sejenis.

Sekretariat Suara Rakyat dan Pertubuhan Bangkit memberi 7 hari kepada perdana menteri untuk mengambil tindakan terhadap Azmin kerana mendakwa beliau melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, iaitu melakukan persetubuhan di luar tabii.

Timbalan Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat, Mohamad Ali Mohamad berkata jika tiada tindakan diambil terhadap Azmin, laporan forensik yang dilakukan sebuah syarikat berpangkalan di United Kingdom ke atas video seks sejenis menyasarkan timbalan presiden PKR itu akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dan Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Kita pertahankan Perlembagaan kita dan setiap warganegara di Malaysia tidak terlepas apa jua keistimewaan dan mereka juga perlu menghadapi undang-undang di negara kita.

“Walaupun dia orang besar, rakyat ada pengaruh, beliau mesti diadili,” katanya di luar bangunan Jabatan Perdana Menteri selepas menyerahkan laporan forensik yang dilakukan Verden Forensics kepada wakil Mahathir hari ini.

Pada 28 Ogos lalu, polis dilaporkan meminta Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam menyerahkan salinan video yang diberikan kepada Verden Forensics bersama laporan penuhnya.

Berdasarkan laporan ringkasan Verden Forensics, klip video itu tulen dan 2 individu terbabit sama dengan gambar mereka.

Tetapi, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador pada 18 Julai lalu berkata, analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan video seks sejenis itu adalah tulen, tetapi ia tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip seorang menteri itu.

Ali meminta Mahathir memberi kebebasan kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas Azmin.

“Kita hairan bagaimana mereka pasangan yang melakukan seks sejenis dengan Azmin tidak dikenakan tindakan.

“Bila seorang sudah mengaku, kenapa polis tak ambil tindakan terhadap mereka?” soalnya.

Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengakui dirinya seorang daripada 2 lelaki yang dirakam mengadakan hubungan seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan pada Mei lalu.

Haziq turut menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam video itu, tetapi Azmin menafikannya dan menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.