Caj khidmat penumpang dikurangkan RM23 mulai 1 Oktober

Loke Siew Fook berkata, PSC bagi penumpang sektor Asean dan domestik di semua lapangan terbang dikekalkan pada RM35 dan RM11.

PETALING JAYA: Putrajaya bersetuju mengurangkan caj perkhidmatan penumpang (PSC) sebanyak RM23, daripada RM73 kepada RM50 mulai 1 Oktober ini.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dalam kenyataan hari ini berkata, kadar PSC itu dikenakan ke atas semua penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan lapangan terbang lain di seluruh negara.

Katanya, Kabinet dalam mesyuarat semalam bersetuju mengekalkan kadar RM73 bagi penumpang yang berlepas dari KLIA.

“Kadar PSC bagi penumpang sektor Asean dan domestik bagi semua lapangan terbang di Malaysia dikekalkan pada kadar RM35 dan RM11 masing-masing.”

Beliau berkata, penumpang yang sudah membayar PSC boleh menuntut bayaran balik daripada syarikat penerbangan masing-masing.

“Kerajaan pada masa sama akan terus meneroka beberapa model kewangan seperti pengenaan ‘Regulated Asset Base (RAB)’ serta model pembiayaan lain dari semasa ke semasa bagi pembiayaan projek pembangunan lapangan terbang.”

Penumpang membayar PSC kepada pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) atas penggunaan kemudahan di lapangan terbang.

Caj yang dibayar penumpang di klia2 bagi destinasi luar Asean meningkat 2 kali ganda sejak 2016 daripada RM32 kepada RM50 mulai 1 Januari 2017 dan RM73 sejak 1 Januari 2018.

Pada 16 Ogos lalu, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan sedang meneliti struktur cukai lapangan terbang supaya ia adil kepada semua penumpang.

Perdana menteri berkata, tidak adil untuk mengenakan kadar cukai sama kepada penumpang yang membeli tiket penerbangan kos rendah dan tinggi.

Pada 18 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan AirAsia membayar PSC sebanyak RM40.73 juta kepada MAHB atas keengganannya mengutip caj itu selama 6 bulan pada 2018.

AirAsia enggan mengutip tambahan RM23 daripada pelanggannya untuk memastikan perjalanan udara kekal mampu untuk semua kerana ia percaya kenaikan PSC itu “tidak munasabah”.