NGV masih relevan jika Petronas betul-betul promosi, kata persatuan teksi

Kamarudin Mohd Hussain.

PETALING JAYA: Persatuan teksi berkata perniagaan kenderaan gas asli (NGV) masih relevan jika Petronas betul-betul mempromosikan bahan bakar itu.

Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain mendakwa pemintaan terhadap bahan bakar itu masih ada tetapi Petronas yang enggan menyediakannya.

“Contohnya, Kelantan, Terengganu dan Pahang hanya ada 1 stesen yang beroperasi di setiap negeri dan tempoh beroperasi yang amat singkat, manakala Sabah dan Sarawak langsung tidak ada.

“Bagaimana penjualan bahan bakar itu mampu ditingkatkan jika Petronas sendiri tidak mahu berusaha mempromosikan penjualan bahan bakar mesra alam tersebut,” katanya kepada FMT.

Semalam, media melaporkan Petronas Dagangan Bhd (PDB) akan meneliti semula perniagaan kenderaan gas asli (NGV) selepas mendapati segmen itu mengalami trend penurunan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir berkata, secara purata permintaan segmen NGV berkurangan kira-kira 15% hingga 20% setahun dan menyebabkannya perlu dinilai semula.

Kamarudin berkata Petronas perlu perbanyakkan stesen NGV di seluruh negara dan bukannya menutup puluhan stesen sedia ada seperti yang berlaku sejak 5 tahun lalu.

Pemerhatian persatuan teksi mendapati banyak stesen-stesen NGV ditutup malah waktu operasi bagi stesen yang masih beroperasi dipendekkan.

“Keadaan tersebut bukan sahaja menyusahkan pelangan yang menggunakan bahan bakar tersebut, malah menghilangkan minat orang ramai untuk menggunakan bahan bakar tersebut.

“Sepatutnya Petronas perlu merangka strategi pemasaran yang lebih proaktif bagi mengalakkan orang ramai menggunakan bahan bakar tersebut seperti di Thailand,” katanya.