Selain buku ibu bapa boleh bentuk pemikiran anak guna gajet

Ibu bapa kini menghadapi cabaran untuk membesarkan anak dengan memupuk nilai membaca buku berbentuk ilmiah.

Ini kerana perkembangan dunia hari ini membawa pemikiran kanak-kanak lebih pantas berbanding dulu apabila cenderung kepada gajet.

Ia menjadi kegemaran kanak-kanak kini kerana mempunyai pelbagai cerita dan kartun khususnya di dalam Youtube sehingga ada yang menjadi ikutan mereka.

Contohnya, mereka lebih mudah belajar bahasa Inggeris menggunakan gajet berbanding buku berbentuk ilmiah yang dianggap bosan.

Namun ia perlu dikawal supaya anak-anak tidak terlalu obses dengan gajet yang dimiliki sehingga menjadikan mereka sebagai individu yang anti sosial.

Bagaimanapun ibu bapa tidak perlu risau kerana terdapat cara yang mereka boleh gunakan untuk menarik minat mereka membaca buku ilmiah dan pelajaran nanti.

1. Membaca melalui pengalaman

Selain meminta mereka membaca buku yang disediakan, ibu bapa juga perlu meluangkan masa untuk mendengar anak-anak bercerita tentang aktiviti seharian mereka.

Kanak-kanak biasanya memang suka bercakap dan bercerita, jadi ibu bapa perlu mengambil peluang untuk mendengar cerita mereka walaupun ia tentang pengalamannya membeli ais krim.

Menerusi cara itu juga, ibu bapa dapat melatih teknik komunikasi dan membina keyakinan dirinya.

2. Melancong

Setiap kanak-kanak pasti suka jika pergi melancong tetapi jangan jadikan aktiviti ini sebagai sekadar percutian tanpa makna.

Sebaik-baiknya masukkan dalam senarai untuk berkunjung ke tempat-tempat bersejarah seperti muzium bagi memberi mereka pendedahan.

Selalunya dengan cara ini anak-anak lebih mudah “tangkap” berbanding hanya membaca buku sejarah yang mungkin membosankan.

Selain itu, melancong juga boleh memberikan pendedahan kepada anak-anak tentang persekitaran dan budaya berbeza.

3. Gajet bukan sekadar main “game”, menonton kartun

Memandangkan anak-anak “gilakan” gajet, anda boleh menukarnya dengan memberi mereka tugasan untuk mengambil gambar atau video menarik dan minta mereka menulis tentang pengalaman itu sama ada menggunakan kertas atau dalam telefon.

Dengan cara ini, anak-anak tidak akan hanyut dengan permainan video sahaja sebaliknya ada aktiviti lebih bermanfaat boleh dilakukan menggunakan gajet mereka.

4. Buku berbentuk audio dan digital

Sesuai dengan minat anak-anak terhadap gajet, anda boleh muat turun buku kegemaran mereka secara digital yang ada di antaranya bersifat interaktif seperti mempunyai suara, pergerakan dan sebagainya.

Penerbitan buku cerita ini bertujuan untuk memupuk nilai-nilai penting dalam diri kanak-kanak di samping penyediaan pelbagai aktiviti menarik yang ditawarkan.

5. Sediakan perpustakaan mini di rumah

Dalam memupuk sesuatu tabiat itu semuanya perlu bermula di rumah. Ibu bapa disarankan untuk membina sebuah perpustakaan mini di rumah dengan menghimpunkan pelbagai buku kegemaran anak-anak.

Ruang ini juga boleh dijadikan tempat santai bersama keluarga selain melakukan aktiviti menyeronokkan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]