UKM rujuk Nur Fitri ke jabatan psikiatri, laksana pantauan berterusan

Nur Fitri Azmeer Nordin.

PETALING JAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambi langkah pemantauan berterusan dan berkala ke atas Nur Fitri Azmeer Nordin selepas UKM menjadi sasaran kritikan kerana menerima pelajar itu yang disabit kesalahan memiliki imej dan gambar lucah kanak-kanak.

Antara langkah yang diambil adalah merujuk Nur Fitri ke jabatan psikiatri di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM bagi melihat status kesihatan mental terkini, dan kaunseling individu untuk memahami isu serta membantu kesejahteraan psikologinya.

Laporan psikologi dan kesihatan mental dari setiap sesi akan diberikan kepada Hal Ehwal Pelajar dan fakulti untuk pemantauan dan mengambil langkah-langkah yang perlu, dan aktiviti akademiknya akan dipantau fakulti dan penyelia sepanjang pengajian.

Selain itu, UKM turut bekerjasama dengan keluarga dan agensi berkaitan dalam memantau keadaan Nur Fitri, selain diminta memberikan pengawasan berterusan dengan kerjasama pihak berkuasa termasuk polis.

“UKM telah memastikan bahawa semua tindakan yang wajar diambil bagi memastikan isu-isu keselamatan dan keselesaan semua pelajar ditangani dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, ia juga mempunyai pelan strategik yang merangkumi kawalan serta pemantauan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan Nur Fitri.

“UKM tidak akan berkompromi dengan apa-apa bentuk salah laku pelajar yang melanggar peraturan universiti dan perlakuan yang melanggar undang-undang negara,” katanya.

Nur Fitri dijatuhi hukuman penjara 5 tahun pada 2015 selepas mengaku bersalah di mahkamah London kerana memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak.

Polis British kemudian berkata fail yang disimpannya adalah “sangat ekstrem” yang mereka pernah jumpai.

Dia dihantar pulang ke Malaysia selepas menjalani hukuman penjara yang dikurangkan dari 18 bulan ke 9 bulan.

“UKM percaya pendidikan boleh membantu transformasi individu dengan memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki diri bagi mencapai kejayaan tertinggi dalam kehidupan,” katanya.

Nur Fitri menerima biasiswa Mara untuk belajar di Imperial College London pada 2012. Beliau mewakili Malaysia dalam Olimpik Matematik Antarabangsa pada 2011. Bagaimanapun, pinjamannya ditarik balik berikutan kesalahan tersebut.

Timbalan ketua polis negara ketika itu, Noor Rashid Ibrahim berkata, Nur Fitri akan menjadi “individu bebas” di Malaysia selepas menjalani hukumannya di UK dan tidak akan dipantau apabila kembali.