5 hotel di Malaysia sangat unik dan bersejarah

Setiap tahun kita meraikan Hari Kemerdekaan bagi mengenang jasa pejuang-pejuang kemerdekaan kita dan kebebasan Tanah Melayu sebelum hingga membuatkan Malaysia menjadi gah di mata dunia.

Bercakap tentang kemerdekaan, terdapat beberapa hotel yang memiliki nilai sentimental dan sejarah yang pastinya akan membuat anda teringat peristiwa bersejarah yang pernah berlaku sebelum kemerdekaan.

Mungkin ada dalam kalangan yang anda tahu akan kewujudan hotel-hotel ini tetapi tidak tahu sejarah di sebalik hotel-hotel tersebut.

Berikut 5 hotel yang unik dan bersejarah di Semenanjung Malaysia:

1. Federal Hotel

Federal Hotel dikenali sebagai hotel yang melaungkan ‘Merdeka!’ pada hari bersejarah tersebut.

Hotel ini bukan sekadar sebuah hotel, malahan ia merupakan sebahagian daripada sejarah dan warisan negara Malaysia.

Terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur di kawasan Bukit Bintang, Federal Hotel adalah hotel bertaraf antarabangsa yang pertama di Malaysia, dibuka 3 hari sebelum pengisytiharan kemerdekaan negara kita.

Pembukaan hotel ini adalah tepat pada masanya bagi menyaksikan dan menandakan detik bersejarah Persekutuan Tanah Melayu dikembalikan kepada rakyatnya oleh pihak British.

Tetamu terawal yang menginap di hotel ini terdiri daripada orang-orang kenamaan asing yang hadir untuk menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut.

Hotel ini telah menjadi sebahagian dalam sejarah negara yang penting dan seharusnya dikunjungi sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia.

Bagi anda yang berminat untuk menginap di sini, harga penginapan adalah bermula dari RM174 semalam.

2. Majestic Hotel

Kenali salah sebuah tapak warisan kolonial di Majestic Hotel, Kuala Lumpur merupakan bangunan kolonial yang dibina pada tahun 1932 dan merupakan salah sebuah tapak warisan kolonial.

Hotel ini merupakan antara yang terhebat pada zaman tersebut dan telah diwartakan sebagai sebuah tapak wariasan kebangsaan.

Sebelum Persekutuan Tanah Melayu mendapat kemerdekaan daripada pihak British, hotel ini merupakan sebuah ikon zaman kegemilangan Malaya sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua.

Ia bukan sahaja digunakan untuk majlis keramaian yang penuh gilang-gemilang dan resepsi kerajaan, malah turut dijadikan tempat penginapan tetamu kenamaan antarabangsa.

Di hotel inilah, mesyuarat pertama yang dihadiri oleh pegawai-pegawai kerajaan telah diadakan untuk menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya, sebuah parti politik yang memperjuangkan kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu.

Bagi anda yang ingin menginap di sini, harga penginapan untuk satu malam bermula dari RM500 sahaja.

3. Eastern & Oriental Hotel

Eastern & Oriental Hotel merupakan hotel yang telah beroperasi lebih dari 100 tahun dan telah menyaksikan pelbagai peristiwa bersejarah.

Antaranya adalah dua Perang Dunia, zaman kegemilangan Empayar British dan kelahiran negara Malaysia yang berdaulat.

Walaupun ia telah banyak melalui perubahan masa, Hotel Eastern & Oriental ini masih mengekalkan kecantikan bangunannya dan mengekalkan keaslian hotel tersebut.

Hotel ini terletak di Pulau Pinang dan harga penginapan untuk satu malam bermula dari RM504 sahaja.

4. Muntri Grove Hotel

Muntri Grove Hotel merupakan sebuah hotel di Pulau Pinang yang pada asalnya sebuah kuarters penginapan orang gaji kepada keluarga-keluarga berada pada abad ke-19.

Pada ketika itu, ia hanyalah sebuah bangunan sederhana yang berbumbung rendah dan mempunyai ruang penginapan yang kecil dengan hanya memiliki dua bilik dalam setiap unit.

Melalui seni bina hotel ini, kita masih dapat lihat pengaruh British yang halus pada zaman ia dibina.

Walaupun ia telah dibaik pulih pada tahun 2013, rangka seni bina asal bangunan ini telah dikekalkan untuk memelihara keasliannya.

Hotel ini mempunyai kisah lampau yang unik di mana sebahagian bangunan ini telah dimusnahkan dalam Perang Dunia Kedua.

Bahagian yang rosak tersebut telah dibina semula untuk di jadikan kolam renang dan kawasan menyambut tetamu.

Harga penginapan bermula dari RM400 semalam sahaja.

5. Gingerflower Boutique Hotel

Gingerflower Boutique Hotel ini terletak di Melaka dan hotel ini mengetengahkan seni bina abad ke-19.

Menariknya, hotel ini pada asalnya merupakan sebuah rumah bandar Peranakan yang telah dibaik pulih dengan menarik dan hotel ini telah dilindungi sebagai Warisan Dunia UNESCO.

Seni bina hotel ini merupakan satu peninggalan unik dari era “Timur bertemu Barat” yang menggandingkan dua budaya yang berbeza iaitu Belanda dan Peranakan.

Malah, sebuah telaga masih lagi dipelihara dalam keadaan asal sehingga sekarang di hotel tersebut.

Bagi anda yang ingin menginap, harga penginapan untuk satu malam bermula dari RM220 sahaja.

Walaupun sekarang banyak hotel yang ada di Malaysia tetapi inilah 5 hotel unik yang anda harus cuba sekali seumur hidup dengan melihat sendiri keunikan seni bina.

Sumber: thevocket.com

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]