Kanak-kanak istimewa bukan penghalang pamer semangat patriotik

Pelbagai cara boleh ditonjolkan bagi meraikan sambutan Hari Kemerdekaan.

Sama ada meletakkan Jalur Gemilang di atas kereta, di tiang rumah malah di mana sahaja bagi menaikkan rasa cinta pada negara.

Terpulang dengan cara apa sekalipun, ia terserah kepada cara masing-masing untuk meraikannya.

Begitu juga dengan kanak-kanak istimewa, mereka turut mempunyai cara tersendiri untuk menyemai semangat patriotisma dalam diri.

Baru-baru ini pelajar Akademi Headstart, Shah Alam berusia 2 hingga 7 tahun, rata-rata kesemuanya adalah autism mewarna Jalur Gemilang menggunakan tapak tangan mereka.

Pada permulaannya tapak tangan mereka akan dicat menggunakan “water color”, mengikut warna Jalur Gemilang iaitu Merah, Biru dan Kuning, kemudian ia dicop pada kertas lukisan yang disediakan.

Dengan cara ini ia secara tidak langsung dapat membantu mereka menjadi lebih kreatif untuk mewarnai Jalur Gemilang mengikut keunikan tersendiri.

“Kanak-kanak ini sangat berkemampuan dan mereka istimewa dengan cara mereka sendiri,” kata Pengarah Operasi Headstart, Charlene Fernandez.

Akademi ini diasaskan oleh Khairul Ramly dimana beliau pada asalnya bekerja dalam industri minyak dan gas lalu berhenti kerana ingin memberi sokongan kepada anaknya yang mengalami autism.

Akademi ini dalam masa yang sama turut membantu kanak-kanak lain yang mempunyai masalah yang sama agar dapat meningkatkan kualiti dan taraf hidup khususnya dalam pendidikan kebangsaan agar tidak ditindas.

Akademi Headstart secara asasnya merupakan Program Intervensi Awal yang memastikan setiap kanak-kanak diberikan pendidikan yang luas disesuaikan untuk keperluan dan keupayaan mereka.

Dengan bantuan ahli terapi dan ahli kakitangan terlatih, tiada kanak-kanak di Headstart yang tertinggal, malah keperluan mereka akan dijaga sepenuhnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]