Memotong Jalur Gemilang, tetapi atas nama patriotisme

Menjadi satu trend setiap kanak-kanak memakai baju bendera pada hari kemerdekaan.

Ada yang menganggap perbuatan menjahit baju bercorak Jalur Gemilang menunjukkan rasa tidak hormat terhadap bendera kebangsaan.

Mereka berpendapat bendera adalah lambang kedaulatan dan harus dipelihara dengan baik.

Tetapi bagi Amirah Nabilah Mohd Amrani, ia satu cara menanam semangat patriotik dalam diri anak muda.

Amirah mengambil tempahan menjahit baju bendera seawal Julai sehingga September sempena Hari Malaysia nanti.

Jelas beliau ketika ditemubual FMT, “perbuatannya” itu pernah disoal kanak-kanak berusia 5 tahun yang akhirnya faham apa itu kemerdekaan pada rakyat Malaysia.

“Tak ada istilah hina bendera dalam hati saya, malah saya ingin pupukkan rasa cinta terhadap negara dengan cara ini pada anak-anak, saya bangga mereka menyarungkan baju bendera yang saya jahit pada tubuh anak-anak ini kerana sayangkan negara, cintakan negara.

“Mereka tidak kenal erti malu untuk pakai baju bendera, malah kita ingat hari bersejarah ini dan kita raikannya bersama, mana yang dikatakan saya koyak bendera dan hina bendera kita?” soalnya kepada FMT.

Amirah mengharapkan tugasnya sebagai tukang jahit baju bendera mampu memupuk semangat patriotisme dalam diri kanak-kanak.

Bagaimanapun Amirah tetap menghormati setiap pendirian yang disuarakan, namun ia tidak bermakna memakai baju Jalur Gemilang juga suatu perkara yang salah.

“Orang luar bukan sahaja buat baju bendera, malah juga buat selipar daripada bendera kerana ingin tanamkan semangat cintakan negara, tapi kita tidak sampai ke tahap itu,” jelasnya lagi.

Tambah beliau, ada juga pihak sekolah menjadikan pertandingan baju Jalur Gemilang tercantik sebagai acara tahunan dan memberi ganjaran kepada pemenang.

Pelbagai rekaan dan fesyen yang ditempah pelanggan, namun Amirah tetap menjaga kedaulatan setiap simbol pada bendera.

Berikutan itu, sejak beberapa tahun lalu, Amirah akan mengambil tempahan bermula Julai sehingga 16 September ini iaitu Hari Malaysia dan sempena kempen memakai tanjak.

“Terlalu banyak tempahan yang saya terima untuk 3 bulan ini, setiap tahun saya akan lakukan perkara yang sama, tidak mengambil tempahan selama 3 bulan kerana fokus untuk baju bendera saja.

“Untuk baju bendera lelaki, saya boleh menyiapkan 20 pasang, sama ada konsep pendekar, pahlawan, Aladdin dan Samfoo. Set ini boleh dipakai bersama tanjak, samping dan tarbus,” jelasnya.

Kanak-kanak bangga apabila dapat menggayakan baju bendera pada hari kemerdekaan yang disambut setiap tahun.

Untuk baju Jalur Gemilang perempuan pula tambah Amirah, ia boleh digayakan dalam pelbagai konsep mengikut citarasa yang pelanggan inginkan.

Uniknya, Amirah turut menghormati permintaan pelanggan yang ingin menempah baju bendera tetapi tidak langsung menggunakan Jalur Gemilang sebagai tanda hormat.

Meskipun banyak persepsi tentang Jalur Gemilang yang di ‘koyak’, namun Amirah tetap meneruskan perjuangan dengan menyemai rasa cinta pada negara melalui baju bendera yang dijahitnya.

“Setiap orang ada pendirian masing-masing, seperti orang Johor, mereka tidak boleh potong bendera, jadi mereka menempah baju mengikut warna yang ada pada bendera kita, ini semua mengikut kreativiti masing-masing,” ujarnya.

Hasilnya jelas Amirah lagi, untuk 3 bulan ini, pendapatannya mampu mencecah RM30,000 dengan modal RM3,000 sahaja dengan caj tempahan sepasang hanya RM100.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]