Rakyat Malaysia dipenjara 6 bulan tinggal lebih 23 tahun di Singapura

Rakyat Malaysia Choo Juan Suan dipenjara 6 bulan kerana tinggal lebih masa di Singapura selama 23 tahun.

KUALA LIMPUR: Seorang rakyat Malaysia yang tinggal lebih masa di Singapura selama 23 tahun dan membina kehidupan bersama keluarganya di sana, dijatuhi hukuman maksimum 6 bulan penjara, semalam.

Today Online melaporkan Choo Juan Suan, 64, juga diperintahkan membayar denda sebanyak S$2,000 (RM6,061) sebagai ganti terhadap hukuman sekurang-kurangnya 3 sebatan kerana pesalah 50 tahun ke atas tidak boleh disebat mengikut undang-undang negara itu.

Choo mengaku bersalah memasuki Singapura tanpa pas yang sah pada pertengahan 1995.

Menurut laporan itu, rekod menunjukkan dia kali terakhir meninggalkan Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 6 Julai 1995. Tidak ada rekod menunjukkan dia memasuki semula republik itu secara sah.

Choo ditahan pada 15 Nov tahun lepas oleh pegawai Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura di Block 44 Beo Crescent. Mahkamah diberitahu dia tidak dapat mengemukakan bukti untuk menunjukkan dia tinggal di Singapura secara sah.

Today Online melaporkan peguam Choo, Wee Hong Shern, memberitahu mahkamah Choo memasuki Singapura secara haram dengan “niat untuk menjaga isterinya dan anak kecilnya yang ketika itu hanya berusia 3 atau 4 bulan” dan dia tiada niat tersembunyi untuk tinggal lebih masa.

Dalam permohonan hukuman rendah iaitu penjara 4 bulan, Wee berkata keutamaan Choo adalah menjaga isteri dan anaknya. Bagaimanapun kewarganegaraan isteri Choo tidak disebutkan.

Wee berkata: “Luar biasa, dia tidak meninggalkan Singapura sejak datang ke sini. Dia mendedikasikan seluruh hidupnya untuk bekerja keras dan menyokong keluarganya. Ini adalah tanggungjawab yang dia harap dia dipenuhi, kerana anak lelakinya sudah berkhidmat dengan Perkhidmatan Negara dan mendapat pekerjaan.

“Disebabkan usianya, dia kini menghidap beberapa penyakit. Dia menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Singapura dan kini perlu disingkirkan dan dihantar pulang ke Malaysia.”

Dalam bantahan hukuman yang lebih rendah, pendakwaan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksa Singapura, Syed Mubaruk memberitahu mahkamah fakta kekal bahawa Choo memasuki negara itu secara haram.