Ketegangan kaum apa? Umno soal Kit Siang

Naib presiden Umno Mohamed Khaled Nordin. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Naib presiden Umno Mohamed Khaled Nordin hari ini mempersoalkan kenyataan DAP mengenai suhu perkauman semakin meningkat di negara ini, mengatakan realitinya menunjukkan gambaran yang berbeza.

Khaled berkata keadaan sekarang sangat harmoni di mana “Tiada orang Melayu yang menzalimi bangsa Cina dan tiada orang Cina yang menzalimi bangsa Melayu atau India”.

Beliau berkata kebanyakan rakyat tidak melihat ras sebagai masalah harian dalam kehidupan Malaysia yang majmuk.

“Orang Melayu terus ke kedai Cina, menggunakan kontraktor Cina dan setia berurusan dan menyimpan dengan bank-bank milik Cina. Orang Cina terus mengunjungi kedai nasi lemak orang Melayu, sarapan roti canai di kedai India dan menaiki Grab yang dipandu orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Khaled mengulas dakwaan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang bahawa ada pihak tertentu yang bermain sentimen kaum dan agama menyebabkan rakyat mempercayai hak, etnik, budaya mereka terancam.

Bekas menteri itu berkata hanya DAP, termasuk mereka seperti Lim, yang terus meniupkan rasa khuatir seolah-olah suhu perkauman semakin meningkat, hanya kerana orang Melayu tidak menyokong Pakatan Harapan (PH).

Beliau mengingatkan Lim bahawa DAP sedang memuja Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang pernah menjadi sebahagian kumpulan sayap kanan Melayu Perkasa dan ahli politik yang pernah dilabelkan sebagai ultra-Melayu.

Beliau juga mencabar Lim menamakan oportunis politik yang mengamalkan rasa tidak selamat itu.

Menjawab persoalan Lim jika beliau sepatutnya melupakan Malaysia baru dan berundur, Khaled berkata tiada apa yang baru tentang Malaysia sejak kemenangan PH.

Apa yang baru, katanya, drama Anwar Ibrahim yang terus berharap menggantikan Mahathir, penjenamaan semula program kerajaan Barisan Nasional dan kegagalan PH memenuhi manifestonya.

“Semua ini adalah petunjuk jelas Malaysia Baru adalah satu gimik politik yang tidak boleh dipertahankan,” katanya.