Peguam: Malaysia ‘perlu tangkap’ Naik jika Interpol keluar notis merah

India mengingatkan setiausaha agung Interpol, Jurgen Stock mengenai permohonan negara itu mendapatkan notis merah terhadap Zakir Naik.

PETALING JAYA: Jika Interpol mengeluarkan notis merah terhadap penceramah Dr Zakir Naik, maka polis Malaysia tidak mempunyai pilihan selain menangkap beliau, menurut seorang peguam yang pernah berkhidmat di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Naik dikehendaki oleh pihak berkuasa India atas dakwaan pengubahan wang dan ucapan kebencian. Notis merah Interpol merupakan peringatan kepada psukan polis negara anggota supaya menangkap individu dikehendaki.

Justeru sebagai negara anggota Interpol, Malaysia perlu mengambil langkah tersebut, kata peguam N Sivananthan.

“Kita perlu menagkap Naik dan menyerahkan beliau kepada Interpol yang akan menghantarnya pulang ke India,” katanya kepada FMT.

Katanya, India seharusnya tidak perlu mendapatkan pertolonga daripada Interpol kerana negara itu mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia sejak 2010.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan India supaya Interpol mengambil tindakan ke atas permohonannya mendapatkan notis merah terhadap beberapa orang pelarian yang mengelak daripada tindakan undang-undang, termasuk Naik yang mempunyai status pemastautin tetap di Malaysia.

Pada Jumaat Setiausaha Dalam Negeri India, AK Bhalla menemui setiausaha agung Interpol yang melawat negara itu, Jurgen Stock, selama 30 minit dan membangkitkan isu permohonannya bagi mendapatkan notis merah terhadap beberapa orang, termasuk Naik.

Dilaporkan pada Mei, India memfailkan pendakwaan pengubahan wang ke atas Naik dengan menuduhnya memiliki kira-kira Rs 1.9 bilion (RM114.5 juta) aset daripada kegiatan jenayah.

Naik didakwa tanpa hadir di mahkamah di Mumbai kerana memiliki Rs 1.9 bilion (RM114.5 juta) aset jenayah. Beliau juga didakwa membuat ucapan dan syarahan yang mengapi-apikan yang menyebabkan beberapa pemuda Islam melakukan tindakan keganasan.

Naik menafikan pertuduhan terhadap beliau.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad beberapa kali berkata, Malaysia enggan menghantar pulang Naik kerana beliau berdepan risiko dibunuh, selain wujud keraguan sama ada beliau akan diberikan perbicaraan yang adil.

Baru-baru ini berikutan ceramahnya di Kelantan, lebih 100 laporan polis dibuat terhadap Naik. Beliau kemudiannya meminta maaf susulan kontroversi itu dan Mahathir berkata, kerajaan akan membatalkan staus pemastautin perceramah itu sekiranya tindak-tanduk beliau menggugat keharmonian rakyat negara ini.