Resipi ringkas hasilkan donut ‘gebu’ dan sedap

Donut antara menu kudapan yang menjadi pilihan ketika minum petang.

Enak dinikmati begitu sahaja ataupun makan sambil cicah dengan air kopi.

Walau dengan cara apa sekalipun ia dinikmati, jika donut itu tidak gebu pasti anda berasa sedikit hampa bukan?

Terbaharu, resipi donut yang gebu perkongsian pengguna Facebook Nadzirah Zulkefli menjadi viral berikutan donutnya yang gebu.

Pasti anda tertanya-tanya caranya menjadikan donut anda gebu dan sedap.

Bahan-bahan yang diperlukan:

1. Secawan air suam
2. Gula- 4 sudu besar
3. Yis- 2 sudu besar
4. Tepung gandum- 4 cawan
5. Marjerin- 2 sudu besar
6. Garam- sesudu kecil
7. Serbuk penaik- 2 sudu kecil
8. Bread improver– sesudu kecil

Cara-cara membuat donut:

1. Larutkan gula dan yis ke dalam air suam dan tunggu sehingga yis naik iaitu dalam 10-15 min.

2. Masukkan bahan-bahan lain iaitu tepung gandum, marjerin, garam, serbuk penaik, bread improver ke dalam bekas dan ramas-ramas sehingga rata.

3. Kemudian, masukkan air bancuhan yis tadi dan uli hingga menjadi doh dalam 15 hingga 20 minit. *Nota: tidak perlu melekat di tangan.

4. Setelah siap uli, biarkan doh lebih kurang 1 jam dan tutup dengan kain basah.

5. Apabila doh sudah naik, tumbuk doh dahulu untuk buang angin dalam doh tersebut. Lalu, bentukkan doh sebesar bola ping pong dan biarkan ia dalam 15 minit.

6. Kemudian, ketika ingin goreng, ambil doh dan bentukkan lubang ditengah dengan menggunakan jari.

*Nota: Pastikan menggoreng donut menggunakan api yang kecil.

7. Setelah siap goreng, gaulkan donut tersebut dengan gula halus dan siap.

Perkongsian resipi donut ini bukan sahaja mudah untuk dibuat tetapi enak untuk dinikmati bersama keluarga.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]