Aktivis pengguna gesa kerajaan ambil tindakan ke atas pihak lancar boikot produk bukan Islam

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Dr Jacob George berkata, tindakan segera perlu diambil bagi meredakan keadaan yang sebelum ini harmoni selama 62 tahun sejak negara mencapai kemerdekaan.

PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) menggesa kerajaan mengambil tindakan segera dengan menggunakan undang-undang yang ada terhadap pihak yang melancarkan kempen boikot barangan bukan Islam.

Presidennya Dr Jacob George berkata, beliau dukacita dengan kempen itu dan tindakan segera perlu diambil bagi meredakan keadaan masyarakat yang sebelum ini ternyata harmoni selama 62 tahun sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Tindakan yang diambil golongan tertentu ini adalah suara minoriti, sedangkan suara majoriti masih rasional.

“Ia mempunyai agenda politik yang bertujuan memecah belahkan masyarakat dalam negara kita,” katanya kepada FMT hari ini.

Sebelum itu, Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin dilihat cuba meredakan kempen memboikot produk bukan Bumiputera itu dengan berkata, ia hanya bertujuan menggalakkan orang Islam membeli produk sesama sendiri untuk membantu ekonomi mereka.

Beliau turut menggesa orang bukan Islam tidak menganggap kempen mengutamakan produk Islam itu sebagai satu permusuhan dengan memberi contoh banyak syarikat yang mengiklankan produk mereka di semua media dan papan tanda.

“Itu bukan bererti satu peperangan kepada syarikat lain. Ia satu usaha untuk melariskan produk demi pengukuhan ekonomi mereka.

Semalam Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyeru PAS dan Umno supaya membantu menghentikan gerakan memboikot produk bukan Islam kerana tindakan itu tidak menguntungkan dan boleh menggugat perpaduan negara.

Setiausaha agung DAP itu berkata, jika Umno dan PAS tidak memusuhi golongan bukan Islam dan bukan Melayu, kedua-dua parti itu patut membantah boikot berkenaan.

Dalam pada itu, Jacob, yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam gerakan kepenggunaan berkata, kempen boikot itu hanya berjalan di semenanjung dan tidak berlaku di Sabah dan Sarawak.

“Ini bukan ‘penyakit’ Malaysia. Ini hanya di semenanjung, bukan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau menyarankan semua pihak supaya mengambil maklum nasihat Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bahawa semangat toleransi dan kerjasama rakyat berbilang kaum adalah asas kukuh bagi perpaduan negara.

“Apakah tindakan dan respons kerajaan di Putrajaya? Kalau tak guna tindakan undang-undang, ia akan menjadi lebih parah dan menimbulkan banyak masalah,” katanya.